Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Sebanyak 31 projek seliaan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) dikenal pasti sebagai projek sakit, setakat bulan lalu.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, data setakat 31 Julai lalu itu hanya membabitkan 3.98 peratus daripada 788 keseluruhan projek yang sedang dilaksanakan JKR di seluruh negara.

“Tak banyak (projek sakit) dari segi peratusan, tetapi banyak lagi projek yang berjaya dan siap lebih awal daripada jangka masa ditetapkan kadangkala tidak uar-uarkan.

“Masalah kelewatan projek bukan baru kita alami, malah sudah biasa contohnya kerana pengambilan balik tanah apabila sesuatu projek ini (hendak dibangunkan) sentiasa berlaku lebih-lebih lagi apabila kita perlu berurusan dengan pihak lain seperti kerajaan negeri dan sebagainya.

“Selain itu, kelewatan disebabkan masalah peralihan utiliti ini akan sentiasa berulang dan mana-mana projek masalah dihadapinya tidak sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan dan Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Kompleks Kerja Raya KKR, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Datuk Mohd Zaid Zakaria.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, pihaknya sentiasa mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) serta mencari bagaimana cara untuk menangani masalah kelewatan projek.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, sebanyak 14 punca dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kelewatan projek.

“Saya juga dalam beberapa bulan ini dapat menyenaraikan projek kita ini lewat kerana pengambilan balik tanah, kebenaran merancang daripada pelbagai pihak berkuasa tempatan (PBT) tiada yang seragam, pengalihan utiliti seperti elektrik, air dan telekomunikasi serta pengurusan nilai (VA dan VE).

“Selain itu, faktor cuaca macam hujan juga salah satu alasan, kelemahan kontraktor serta tempoh urusan tender yang sampai berbulan-bulan.

“Antara sebab projek lewat ialah kelemahan pelbagai pengurusan, bahan naik harga serta bekalan tiada, risiko politik, ekonomi, sosial dan teknologi (PEST) yang berubah-ubah, kelewatan dokumentasi, perubahan skop reka bentuk di saat akhir, komunikasi antara kementerian serta pembayaran lewat daripada kementerian lain yang bayar lewat kepada KKR menyebabkan tidak dapat bayar awal kepada kontraktor,” katanya.-Harian Metro Online