Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasarkan untuk menarik pelaburan hijau bernilai RM300 bilion menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Strategi Pelaburan Hijau (GIS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata dari 2017 hingga 2023, sebanyak RM40 bilion pelaburan hijau telah direalisasikan sepanjang tempoh itu.

Katanya, justeru itu pihaknya berharap apa yang diminta oleh MITI kepada Kementerian Kewangan (MoF) akan dipersetujui untuk dimasukkan dalam bajet 2025 nanti.

“Sekadar untuk memberikan nilai, pada tahun 2017-2023, pelaburan hijau yang telah direalisasikan dalam negara kita adalah sebanyak RM40 bilion. Dalam pelan ini (GIS), kita mahu naikkan ke RM300 bilion menjelang 2030. Ia adalah sasaran yang amat agresif, tetapi perlu dicapai.

null

“(Sasaran) ini juga adalah supaya kita selari dengan sasaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) supaya kita dapat capai sifar bersih pada 2050.

“Insentif-insentif yang kita minta dari MoF adalah lebih kepada untuk membantu syarikat menjalani peralihan ke arah penggunaan tenaga hijau yang mana sememangnya akan membabitkan kos,” katanya pada sidang media pengumuman Strategi Pelaburan Hijau (GIS) Malaysia di Menara MITI, di sini.

Dalam pada itu Tengku Zafrul berkata, kerajaan sedang mengkaji kaedah pelaksanaan cukai karbon dalam usaha menggalakkan pelaburan hijau dalam kalangan industri di negara ini, terutamanya membabitkan sektor yang membuat pelepasan karbon tinggi.

Katanya, pendekatan berbentuk carrot and stick (ganjaran dan hukuman) adalah penting dalam memastikan ketelusan dan persekitaran yang adil buat perniagaan.

“Dari segi hukuman, semua negara maju bergerak ke arah cukai karbon, kami sedang berbincang bersama Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam untuk melihat bagaimana ini boleh dilaksanakan.

“Ia telah dibincangkan pada Majlis Pelaburan Negara dan MoF telah diberi garis masa untuk melihat perkara ini dan mereka memerlukan lebih masa untuk mengkajinya secara holistik.

“Cuma untuk bagi idea, hanya satu sektor dari sektor pembuatan menyumbang hampir 25 peratus daripada pembebasan karbon negara… Pendekatan stick perlu bagi memastikan syarikat-syarikat ini patuh (kepada usaha mengurangkan pembebasan karbon),” katanya.

Ditanya sama ada cukai karbon akan diumumkan dalam Bajet 2025, Tengku Zafrul berkata tidak kerana ia masih dalam peringkat kajian.

Tambahnya, sekiranya cukai karbon tidak dibuat, syarikat tidak mempunyai insentif yang banyak bagi melaksanakan pelaburan untuk mengurangkan pembebesan karbon masing-masing, kerana ia membabitkan kos yang lebih tinggi.

“Jadi tidak ada persekitaran perniagaan yang adil, kos mereka akan menjadi lebih tinggi dan kurang kompetitif berbanding syarikat yang tidak melabur dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon,” katanya.-BH Online