Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GUA MUSANG: Sebanyak 13 permintaan untuk menaik-taraf pembangunan Kampung Limau Kasturi di sini, sedang dihalusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata semua permintaan itu yang dimohon penduduk kampung berkenaan sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diumumkan lagi, perlu melalui proses penelitian terlebih dahulu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, antara permohonan mereka ialah pembinaan sekolah menengah kebangsaan agama, pemasangan lampu solar dan menara telekomunikasi serta membaik-pulih rangkaian jalan di kawasan Nenggiri.

“Selain itu, mereka juga mohon menaik taraf dewan serbaguna dan pendawaian elektrik di gelanggang futsal RKT Limau Kasturi,” katanya ketika berucap pada Program Temu Mata bersama masyarakat Kampung Limau Kasturi di Pusat Kor Limau Kasturi di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Timbalan Pengarah PRK BN bagi DUN Nenggiri, Mohd Syahbuddin Hashim.

Penduduk di kampung itu antara 20,259 pengundi berdaftar yang akan menunaikan tanggungjawab pada PRK DUN Nenggiri, Sabtu ini.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani (dikenali Awie) mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail bagi Perikatan Nasional (PN).

DUN berkenaan dipertanding bermula 2004 dan setakat ini telah melalui lima pilihan raya, menyaksikan empat daripadanya dimenangi BN dan kali terakhir dimenangi Mohd Azizi Abu Naim daripada BERSATU, namun keahliannya dalam parti itu digugurkan pada 13 Jun lalu yang menyebabkan PRK itu diadakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata parti berkenaan perlu menebus kembali maruah dengan menawan semula kubu kuat UMNO itu pada PRK ini.

“Ya, kerana dulu kita kalah 810 undi (pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas). Jadi, saya minta jentera parti untuk berusaha cukup keras supaya kita tebus kembali 810 undi berkenaan pada PRK kali ini.

“Abe (Ahmad Zahid) akan tolong Awie (Mohd Azmawi Fikri) untuk bawa kemajuan di Nenggiri kerana hanya Awie yang boleh bawa kemajuan pembangunan di kawasan itu,” katanya.

Pengerusi BN itu berkata, permintaan Awie untuk mewujudkan institusi TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) di Gua Musang juga dibincangkan bersama Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Ya, Pengerusi MARA (Asyraf Wajdi) berkata di Gua Musang juga perlu ada GIAT MARA. Insya-Allah, semua perkara ini akan kita laksanakan,” katanya. – BERNAMA