KUALA LUMPUR: Malaysia mampu menghadapi cabaran kemungkinan berlakunya kemelesetan di Amerika Syarikat (AS) berdasarkan kepada pencapaian semasa ekonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kadar pengangguran di AS menunjukkan arah aliran meningkat, namun petunjuk ekonomi Malaysia menunjukkan tahap pengukuhan yang baik, termasuk kadar inflasi yang terkawal dan anggaran pertumbuhan bagi suku kedua sebanyak 5.8 peratus.
“Namun, kita juga perlu bersedia untuk menghadapi situasi buruk termasuk memberi fokus kepada industri yang berdaya tahan.Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka dengan nisbah perdagangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 130 peratus, kita perlu memastikan ekonomi Malaysia adalah ekonomi yang pelbagai, bukan sahaja dari segi produk dan KDNK, malah pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Konsultasi Kebangsaan Mengenai Perindustrian Hijau anjuran Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD) di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi KRI, Dr Nungsari Ahmad Radhi dan Ketua Kerjasama Ekonomi dan Integrasi antara negara membangun (ECIDC) UNCTA, Dr Stephanie Blankenburg.
Ditanya sekiranya keadaan di AS semakin buruk boleh memberi kesan kepada pelan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diumumkan baru-baru ini, Tengku Zafrul berkata NSS adalah program bersifat jangka panjang sehingga 2030.
“Sekiranya ada kejutan luaran, kita perlu bersedia. Namun, jangan lupa ia sasaran jangka panjang, pasti akan ada turun naik dan akan tetap bergerak ke atas. Kita memberi fokus kepada industri berdaya tahan dan industri semikonduktor yang dilihat agak berdaya tahan.
“Keadaan ini memandangkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) akan terus berkembang dan memerlukan cip mikro, tenaga, pusat data dan sebagainya. Oleh itu, ia tidak akan banyak terjejas, malah akan menjadi satu keperluan seperti air dan elektrik,” katanya.
Terdahulu dalam ucaptamanya pada program itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia bakal berdepan dengan transformasi ekonomi yang menjanjikan impak besar merentasi pelbagai sektor susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif terutamanya dalam perindustrian hijau.
Beliau berkata, dalam tempoh 18 bulan yang lalu, Malaysia telah menarik minat banyak pelabur syarikat multinasional (MNC) terkemuka dalam ruang kemampanan antaranya termasuk Abu Dhabi Future Energy Company PJSC (Masdar).
Katanya, Masdar, syarikat tenaga boleh diperbaharui dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) komited melabur sebanyak AS$8 bilion untuk membangunkan sehingga 10 gigawatt (GW) projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di seluruh negara membabitkan sistem tenaga solar, angin dan penyimpanan tenaga bateri.
“Malaysia juga sudah menarik peserta dalam bidang mobiliti hijau seperti Chery, BYD, Smart serta Mercedes, BMW, dan Porsche yang telah mempunyai kilang pemasangan di sini untuk membantu membangunkan pasaran dan ekosistem mobiliti hijau, kenderaan elektrik (EV) Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia baru-baru ini turut melancarkan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak yang direka untuk menjadi hab teknologi hijau dan industri, dikuasakan terutamanya oleh tenaga boleh diperbaharui (RE).
Beliau berkata, taman seluas 1,000 ekar itu dengan ladang solar seluas 660 ekar, kawasan perumahan dan persekitaran hijau bertujuan menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam sektor seperti elektronik, semikonduktor dan logistik.
Katanya, inisiatif menghijaukan taman perindustrian sedia ada juga merupakan keutamaan di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
“Bank Negara Malaysia (BNM) juga mewajibkan sekurang-kurangnya 50 peratus pembiayaan baharu menyokong aktiviti yang menyokong iklim atau peralihan tenaga menjelang 2026, termasuk penghijauan taman perindustrian.
“Bank pusat sedang membangunkan garis panduan untuk menyelaraskan strategi institusi kewangan dengan matlamat iklim negara kita, memastikan rangka kerja pembiayaan yang kukuh untuk penghijauan landskap industri Malaysia.-BH Online