GUA MUSANG: Penyelesaian isu pemilikan rumah generasi kedua dan ketiga di FELDA dan KESEDAR perlu dilakukan mengikut Kanun Tanah Negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mengikut Kanun Tanah Negara hanya satu rumah boleh didirikan dalam satu lot tanah dimiliki peserta dan peneroka berkenaan.
“Tetapi dalam soal begini, oleh kerana lot-lot kediaman itu adalah hak milik peserta dan peneroka, maka kaedah-kaedah tertentu termasuk pemecahan lot tanah akan dilakukan bagi mendirikan rumah generasi kedua dan ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Temu Mata Masyarakat Jeram Tekoh, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi KESEDAR, Datuk Zawawi Othman dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan berusaha mengelak berlakunya pertindihan pemilikan lot tanah yang sama dan perkara itu pernah berlaku dan berharap ia dapat diselesaikan dengan baik.
Beliau berkata kerajaan tetap komited untuk menyelesaikan isu berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata kementerian menerusi Projek Perumahan Rakyat Sejahtera mempunyai peruntukan untuk membina rumah baharu namun di luar tanah peserta dan peneroka.
Katanya, perkara itu sudah dibawa ke peringkat perbincangan dan sudah mendapat kelulusan.
“Beberapa kaedah dikemukakan kepada saya dan insya Allah saya akan perincikan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri,” katanya.-BH Online