PETALING JAYA: Kementerian Digital sedang merangka penggubalan dasar membabitkan teknologi kuantum atau komputer kuantum bagi mengukuhkan lagi perlindungan data peribadi di Malaysia.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata kementerian itu dijangka membentangkan hasil rangka dasar itu menjelang akhir tahun ini, bagi membolehkan negara mendepani cabaran teknologi baharu.
“Kementerian Digital sedang melihat cara kita boleh memastikan ada perlindungan untuk data peribadi. Kita juga melihat untuk menambah baik struktur dan ini juga boleh disediakan untuk teknologi baharu yang bergerak ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) keselamatan siber dan meningkatkan ketahanan digital negara antara Axiata Group Berhad (Axiata) dengan CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan merancang untuk memasukkan teknologi kuantum ke dalam dasar yang bertujuan melindungi keselamatan digital Malaysia untuk jangka masa panjang.
Teknologi kuantum mampu mengendalikan penyulitan data kurang lima minit berbanding menggunakan komputer biasa yang mengambil masa bertahun-tahun, sekali gus menjadi cabaran baharu bagi sektor keselamatan siber negara.
Gobind berkata, Kementerian Digital juga sedang melihat data secara holistik untuk meningkatkan daya tahan infrastruktur siber, sekali gus menyediakan negara untuk menghadapi cabaran teknologi baharu itu.
“Ketika ini, usaha sedang dilaksanakan ke arah itu. Saya harap kita akan tampil dengan sesuatu (dasar baharu) menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan, Rang Undang-Undang (RUU) Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) yang dipinda Jun lalu masih belum dikuatkuasakan berikutan mempunyai empat set peraturan yang perlu diluluskan Jabatan Peguam Negara.
“Saya diberitahu tiga daripada empat set itu diluluskan dan harap yang terakhir akan diluluskan sebelum dijangka dapat dikuatkuasakan hujung bulan ini.
“Apabila ia dikuatkuasakan, barulah saya boleh jelaskan apakah keperluan (undang-undang) itu,” katanya-BH Online