Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Peningkatan kadar kehamilan khususnya golongan muda masih belum mampu meningkatkan jumlah penduduk negara ini. 

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kadar kesuburan keseluruhan (TFR) di negara ini mencatatkan penurunan yang semakin ketara iaitu pasangan hanya melahirkan 1.6 anak. 

Justeru katanya, LPPKN yang fungsi asalnya untuk menggalakkan perancang keluarga, namun sekarang melaksanakan program sebaliknya iaitu menggalakkan pasangan meningkatkan kelahiran. 

“Hasil kajian pada 2022 mendapati 33 peratus wanita di Malaysia hamil tanpa dirancang, namun ia masih belum mencukupi untuk mencapai apa yang kita hasratkan iaitu meningkatkan kadar kelahiran. 

Warga emas semakin ramai, negara tua menjelang 2030

“Ini menyebabkan berlaku jurang terlalu besar dalam kadar kelahiran dengan peningkatan jumlah warga emas di negara kita sehingga kajian turut mendapati Malaysia akan menjadi negara tua menjelang tahun 2030,” katanya. 

Beliau ditemui selepas Majlis Penutupan Program Kesihatan dan Kesedaran Kesihatan Seksual Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Sempena Karnival Hari Keluarga, Kesejahteraan dan Kesihatan Remaja di Kampung Sourabaya Hulu, Petra Jaya, hari ini. 

LPPKN galak rakyat Malaysia kahwin dan punyai ramai anak

Sehubungan itu katanya, kementeriannya menerusi LPPKN kini menggiatkan program menggalakkan rakyat Malaysia mendirikan rumahtangga dan bersedia untuk memiliki anak yang ramai. 

“Usaha ini tidak dapat dihentikan kerana kita mahu meningkatkan kadar kelahiran baharu berikutan jumlah penduduk Malaysia ketika hanya hampir 34 juta orang. 

“Banyak lagi program yang kita rancang untuk menggalakkan rakyat menyahut seruan meningkat kelahiran,” katanya. 

Menurut Nancy, pelbagai faktor menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran itu antaranya pasangan belum bersedia memiliki anak kerana faktor ekonomi keluarga, gaya hidup serta menjarakkan anak,” katanya. 

Bagaimanapun katanya, wanita tidak harus dianggap sebagai punca penurunan kelahiran kerana faktor kesuburan lelaki juga turut menyumbang keadaan itu.-BH Online