Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Penerjun berpengalaman negara, Nur Dhabitah Sabri meneruskan aksi cemerlang pada separuh akhir hari ini selepas berjaya mengesahkan tiket ke peringkat akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu wanita Sukan Olimpik Paris 2024.

Atlet berusia 25 tahun itu menamatkan saingan di tempat kelapan pada aksi separuh akhir di Pusat Akuatik

Saint-Dennis, Paris sebentar tadi, dengan kutipan 286.95 mata. 

Keputusan itu menyaksikan dia menyertai 11 penerjun lain mara ke peringkat perebutan pingat yang dijadualkan berlangsung pada pukul 9 malam, Jumaat.

Pada terjunan pertama, Dhabitah menduduki tangga kedua dengan mengumpul 67.50 mata.

Begitu pun, dua terjunan seterusnya menyaksikan sedikit penurunan dengan masing-masing 55.50 dan 46.50 mata, meletakkan Dhabitah di tangga ke-12 selepas terjunan ketiga. 

Pemenang pingat perak Sukan Komanwel 2022 itu kemudian bangkit di terjunan keempat dengan mengumpul 57.00 mata pada darjah kesukaran 3.0, membaiki kedudukan ke tangga ke-10. 

Pada terjunan terakhir pula, Dhabitah mengumpul 60.45 mata.

Penerjun China, Chen Yiwen mengungguli saingan separuh akhir dengan 360.85 mata diikuti Maddison Keeney dari Australia di tempat kedua dengan 334.70 mata dan Chiara Pellacani (342.75).

Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan penampilan ketiga Nur Dhabitah selepas Tokyo 2020 dan Rio 2016.

Pada penampilan di Olimpik Tokyo 2020, dia menamatkan saingan di tempat keempat pada aksi final selepas mengutip 326.15 mata.-Astro Awani