Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING : Sarawak memberi tumpuan khusus untuk mempercepatkan projek menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di tiga lokasi utama di sempadan Malaysia-Indonesia.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ICQS yang perlu dibangunkan segera itu ialah Tebedu di Serian, Biawak di Lundu, Ba’kelalan di Lawas dan Tapak Megah di Bukit Mabong, Kapit.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak secara sukarela membantu Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan bagi melaksanakan kerja menaik taraf tiga ICQS sedia ada dan satu lagi membina baharu.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyediakan peruntukan RM1 bilion bagi membangunkan infrastruktur sempadan.

“Sebenarnya RM1 billion tidak mencukupi untuk melaksanakan pembangunan semua kemudahan di sempadan sebab itu kita harus memberi tumpuan kepada ICQS dahulu manakala jalan raya akan dinaik taraf kemudian kerana kos yang agak tinggi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku ‘Gabenor Pertama Sarawak, Tun Openg’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, semalam mengenai peruntukan RM1 bilion itu belum dimanfaatkan sepenuhnya oleh agensi berkaitan.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, mengenai pembangunan ICQS Tebedu, kerajaan Sarawak bersetuju untuk membiayai separuh daripada kos kerja menaik taraf bagi memastikannya dapat disiapkan segera berikutan perkembangan pembangunan ibu kota baharu Indonesia, Nusantara akan memberi kesan kepada Sarawak.

Sementara itu, mengenai buku tulisan Datuk Dr Jeniri Amir itu, Abang Johari berkata, bapanya (Tun Abang Openg) adalah mentor yang memberi inspirasi kepadanya sehingga mencapai tahap sekarang.

Menurutnya, Allahyarham bapanya itu mengajarnya mengenai kepentingan pendidikan untuk mengubah kehidupan.

“Dalam era tahun 1920-an ramai yang buta huruf tetapi ayah saya berjaya mendapat pendidikan asas.

“Ketika bertugas sebagai kerani di Jabatan Anak Negeri di Sarikei, ayah saya belajar lagi dengan menghadiri kelas malam untuk menghadapi ujian Junior Cambridge.

“Selepas mengetahui kesungguhan dan ketabahan ayah untuk melengkapkan diri dengan ilmu sebagai bekalan masa depan, saya sedar betapa pentingnya pendidikan,” katanya.

Allahyarham Tun Abang Openg Abang Sapiee yang meninggal dunia pada 1969 adalah Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang pertama selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Allahyarham juga antara tokoh penting dalam pembentukan Malaysia bersama mendiang Tun Jugah Barieng, Datuk Bandar Abang Mustapa dan Datuk Ling Beng Siew yang menandatangani perjanjian bagi pihak Sarawak manakala Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Sir Harold Macmillan masing-masing mewakili Persekutuan Tanah Melayu dan Britain.-BH Online