KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sedang di peringkat akhir persiapan untuk membentangkan pelan tindakan menambah baik kecekapan proses dan prosedur serta reformasi struktur bagi memudahkan menjalankan perniagaan di negara ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata proses libat urus dengan agensi kerajaan serta syarikat swasta dan wakil industri telah selesai manakala satu rangka kerja akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara pada Isnin depan.
“Sekiranya diluluskan, ia akan diangkat ke Jemaah Menteri dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas itu dan akan diluncurkan oleh Perdana Menteri pada 4 Oktober 2024,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Rafizi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang bertanya mengenai langkah yang akan diambil kerajaan untuk menangani pelbagai isu berterusan dalam perniagaan termasuk proses pendaftaran yang panjang serta proses permohonan yang tidak konsisten merentas negeri.
Beliau berkata, pelan tindakan itu membabitkan beberapa perkara penting bagi memastikan negara mempunyai reformasi struktur untuk melakukan semakan proses dan prosedur secara berkala.
“Sekarang ini tidak ada. Sudah tentu akan ada perkembangan baharu dalam proses dan prosedur dari tahun ke tahun.
“Jadi sebab itu, ada keperluan untuk kita memastikan bahawa komitmen dan tanggungjawab jabatan kerajaan sentiasa kekal dalam satu parameter yang telah ditetapkan supaya sebarang proses dan prosedur tidak akan membebankan perniagaan,” katanya.
Rafizi berkata, inisiatif itu akan melibatkan kerajaan mengenal pasti akta dan pekeliling dan garis panduan yang memerlukan semakan segera selaras dengan perkembangan ekosistem perniagaan dan pelaburan. -BERNAMA