Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Program Jerayawara ‘Katakan Tidak Kepada Buruh Paksa’ yang dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) bertujuan membanteras kegiatan buruh paksa dan juga pemerdagangan orang dalam negara. 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) bersama Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).

“Program berkenaan bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat setempat berhubung isu buruh paksa. 

“Melalui aktiviti jerayawara berkenaan, kita akan mendidik mereka mengenai usaha-usaha yang kita ambil dalam menangani isu terbabit. 

“Jerayawara berkenaan dilaksanakan selama dua hari hingga esok dan akan singgah di beberapa Hentian Rehat dan Rawat (R&R) di Negeri Sembilan dan Johor membabitkan 18 buah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sim, KESUMA turut memperkasakan amalan terbaik dalam pengurusan pekerja dalam kalangan sektor perburuhan dan swasta. 

“KESUMA berusaha menerapkan konsep inklusif dalam usaha meningkatkan kesedaran umum berkaitan isu buruh paksa dan pemerdagangan orang.

“Konsep berkenaan adalah merujuk kepada konsep kerjasama erat dan kekitaan sama seperti peribahasa ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh’,” katanya. 

Objektif lain pelaksanaan program itu adalah sebagai langkah jaminan terhadap pengiktirafan pihak luar yang meletakkan KESUMA di tahap dua hasil Laporan Pemerdagangan Orang (USTIP). 

“Ia bagi memastikan kita tidak lagi diperlekehkan di peringkat global berhubung buruh paksa dan pemerdagangan orang. 

“JTKSM juga telah melaksanakan 352 operasi penguatkuasaan bagi tempoh Januari hingga Jun 2024. 

“Hasil daripada operasi terbabit, sebanyak 721 Kertas Siasatan telah dibuka yang membawa kepada 140 pendakwaan dengan nilai denda yang dikenakan berjumlah RM39,600,” katanya. 

Sebanyak 359 Kertas Siasatan dikenakan kompaun yang membawa kepada penawaran kompaun bernilai RM1,768,000.00. 

“Program seumpama itu akan diteruskan bagi memastikan bukan sahaja penguatkuasaan undang-undang perburuhan negara dapat disebarluaskan tetapi juga khidmat nasihat dapat diberikan secara terus kepada orang awam,” katanya.-BH Online