Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pengurusan sekolah diingatkan supaya mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan dalam menerima sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah adalah milik masyarakat dan pihaknya meraikan apa jua bentuk sumbangan atau pendanaan awam seperti yang telah digariskan oleh kementerian.

“Garis panduan berkenaan adalah untuk memastikan semua perkara berkaitan sumbangan dapat dimanfaatkan oleh sekolah-sekolah.

“Jadi saya menasihatkan untuk mematuhi garis panduan terbabit dan pihak sekolah perlu memastikan tanggungjawab berkenaan dilaksanakan di peringkat pentadbir bagi membolehkan semuanya berjalan lancar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan ‘Malaysian University English Test’ (MUET) 2023,di Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di sini, hari ini.

Fadhlina berkata, mekanisma perkara itu tidak begitu sukar atau mendatangkan mudarat kepada mana-mana sekolah dan kementerian masih mengalu-alukan sumbangan, namun ia perlu mematuhi garis panduan berkenaan.

“Kita ada mekanisma yang kita boleh mengharmonikan keadaan itu supaya mesej yang kita mahu sampaikan adalah mesej pendidikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, isu sumbangan daripada syarikat arak yang tular baru-baru ini masih dalam siasatan pihaknya.

“Bagaimanapun, siasatan berkenaan tidak menjurus kepada tindakan atau hukuman, sebaliknya adalah untuk membolehkan kementerian memberikan bimbingan kepada pengurusan sekolah.

“Kita sedang jalankan siasatan, mana-mana yang berkaitan dalam isu itu dalam radar kementerian. “Ia untuk memastikan bahawa kalau ada masalah berkaitan garis panduan, kita hanya hendak berikan bimbingan sahajalah tak ada isu.

“Garis panduan kekal, tetapi kementerian akan berikan bimbingan kepada sekolah dari semasa ke semasa,” katanya.

Baru-baru ini, satu majlis amal anjuran sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Sepang mencetuskan kontroversi apabila menerima sumbangan daripada sebuah syarikat minuman keras.-BH Online