Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, meminta rakyat tidak membiarkan politik kebencian terus menebal sehingga berita palsu dan fitnah dijadikan panduan.
Beliau menekankan bahawa berita palsu serta fitnah adalah berbahaya, malah boleh merosakkan imej negara, meruntuhkan keharmonian dan perpaduan yang sudah sekian lama terjalin, serta memberi ancaman terhadap kemerdekaan negara.
“Menginjak usia 67 tahun kemerdekaan negara, perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang, sewajarnya semakin utuh.null
“Kita sudahpun memasuki fasa sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia. Justeru, ketepikanlah segala perbezaan dan hayati erti sebenar kemerdekaan yang membawa kepada penyatuan seluruh warganegara,” katanya dalam laman X, semalam.
Dalam pada itu, Fahmi turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyempurnakan pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di Cyberjaya, petang tadi.
“Terima kasih juga kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) atas kesudian menjadi tuan rumah dan mengalu-alukan sambutan ini diadakan di Selangor Darul Ehsan.
“Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka!” katanya. – BERNAMA