Tentera membuat rondaan di bandar Bangladesh pada Sabtu untuk menghentikan kekecohan yang semakin meningkat selepas dicetuskan oleh demonstrasi pelajar, dengan polis menembak penunjuk perasaan yang mengingkari perintah berkurung kerajaan.
Insiden itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 133 individu terbunuh setakat ini seperti dilaporkan oleh polis dan hospital, sekali gus menimbulkan cabaran besar kepada kerajaan autokratik Perdana Menteri Sheikh Hasina yang sudah berkuasa selama 15 tahun.
Perintah berkurung berkuat kuasa pada tengah malam dan Pejabat Perdana Menteri meminta tentera mengerahkan tentera selepas polis sekali lagi gagal mengatasi kekecohan yang meluas.
“Tentera ditempatkan di seluruh negara untuk mengawal keadaan undang-undang dan ketertiban,” kata jurucakap angkatan tentera Shahdat Hossain kepada AFP.
Perintah berkurung akan terus berkuat kuasa sehingga sekurang-kurangnya 10 pagi waktu tempatan pada Ahad, lapor penyiar swasta Channel 24.
Jalan di ibu negara Dhaka hampir lengang pada waktu subuh, dengan tentera berjalan kaki dan dalam kapal pengangkut berperisai meronda di kawasan bandar yang mempunyai 20 juta orang itu.
Bagaimanapun, ribuan kembali ke jalan raya pada lewat hari di kawasan perumahan Rampura, dengan polis melepaskan tembakan ke arah orang ramai dan mencederakan sekurang-kurangnya seorang.
Hospital melaporkan peningkatan jumlah kematian akibat tembakan sejak Khamis kepada AFP.
“Ratusan ribu orang memerangi polis di seluruh ibu negara pada Jumaat,” kata jurucakap polis Faruk Hossain memberitahu AFP.
“Sekurang-kurangnya 150 pegawai polis dimasukkan ke hospital. 150 lagi diberi rawatan pertolongan cemas.
“Penunjuk perasaan membakar banyak pondok polis… Banyak pejabat kerajaan dibakar dan dirosakkan,” katanya sambil menambah dua pegawai dipukul hingga mati.
Kakitangan di Hospital Kolej Perubatan Dhaka memberitahu AFP bahawa dua lagi pegawai polis dan sembilan lagi terbunuh, Sabtu lalu.
Empat individu dimasukkan ke dalam rawatan rapi meninggal dunia akibat kecederaan mereka.
Tiga lagi penunjuk perasaan terbunuh di bandar perindustrian Savar di pinggir Dhaka, pusat utama eksport pakaian Bangladesh.-Harian Metro Online