Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Istana Negara kini bersedia sepenuhnya untuk perlangsungan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17, esok, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Pengerusi Jawatankuasa Khas Acara-Acara Sempena Istiadat Pertabalan Agong Ke-17 memaklumkan setakat ini, semua persiapan dan raptai giat dijalan bagi memastikan kelancaran istiadat bersejarah serta gilang-gemilang itu.

“Kita doakan istiadat pertabalan yang akan berlangsung, esok, bukan hanya menjadi memori cukup indah buat rakyat Malaysia tetapi juga kebanggaan kerana kita sedia maklum bahawa institusi Yang di-Pertuan Agong adalah tiang seri buat negara kita.

“Ini adalah satu hari yang bagi kami yang terbabit dalam persediaan, memang penuh debaran,” katanya ketika ditemui Bernama di Istana Negara.

Terdahulu, Fahmi berkesempatan meninjau raptai penuh istiadat itu dan mendengar taklimat daripada wakil Bahagian Istiadat dan Urus Setia Persidangan Antarabangsa, Istana Negara, serta Jabatan Perdana Menteri.

Sultan Ibrahim yang melafaz dan menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari lalu, akan ditabalkan dalam istiadat penuh tradisi Kesultanan Melayu, esok.

Acara-acara sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bermula semalam dengan Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat di Masjid Negara pada jam 5.30 petang, diikuti Khutbah Jumaat Khas, hari ini.

Acara lain yang akan diadakan ialah Majlis Santapan Diraja di Istana Negara, esok, manakala Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, berkenan berangkat ke Hospital Orang Asli Gombak pada 23 Julai ini.

Selain itu, Pameran Raja Kita akan diadakan di Muzium Negara pada 25 Julai ini dan dibuka kepada umum sehari selepas itu hingga 2 September depan.

Pameran itu memberi peluang untuk orang ramai melihat kira-kira 130 koleksi diraja sama ada peringkat Persekutuan ataupun negeri Johor. – BERNAMA