Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Princeton Digital Group (PDG), penyedia pusat data utama Asia, merealisasikan RM2 bilion daripada komitmen pelaburan keseluruhan RM7.1 bilion dalam masa 12 bulan sahaja, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sambil mengucapkan tahniah atas pembukaan pusat data kecerdasan buatan (AI) berskala hiper di Taman Teknologi Sedenak, Johor, baru-baru ini, beliau berkata perkembangan itu dikira pantas memandangkan pelaburan boleh mengambil masa 18 bulan sehingga 24 bulan untuk direalisasikan.

“Untuk pelaburan PDG ini, 100 peratus pekerja adalah rakyat Malaysia dan 70 peratus (daripadanya) merupakan anak Johor.

“Macam inilah pelabur yang kita mahu, mengutamakan anak tempatan,” katanya menerusi satu video yang dimuat naik menerusi laman X, pada Rabu.

Tengku Zafrul berkata pendigitalan adalah antara asas Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hab AI generatif serantau.

“Dari 2021 sehingga Mac 2024, jumlah pelaburan digital yang telah diluluskan hampir RM162 bilion dengan pusat data dan awan menyumbang 76 peratus atau RM123 bilion daripada jumlah pelaburan digital yang telah diluluskan,” katanya.

Beliau berkata semua pelaburan itu telah menjana hampir 3,700 peluang pekerjaan.

Tengku Zafrul berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri komited untuk menjulang Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital rantau ini.– Bernama