Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 di Dewan Rakyat, hari ini, membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata melalui kelulusan itu, kerajaan Sarawak diberi kuasa untuk mengendalikan keseluruhan pelabuhan di negeri itu, termasuk Bintulu.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan rakan Kabinet yang memberi persetujuan dengan hasrat kerajaan negeri.
“Ini sesuai dengan peruntukan MA63, Perlembagaan Persekutuan dan negeri,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Susulan itu, Fadillah berkata, tiga jawatankuasa ditubuhkan, iaitu Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pegawai, Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Khas, yang akan memperhalusi perkara berkaitan sumber manusia, aset dan kewangan sebelum ia diwartakan.
“Tarikh kuat kuasa akan ditentukan Menteri melalui pemberitahuan dalam warta.
“Penentuan tarikh kuat kuasa akan ditetapkan selepas segala penelitian, perbincangan, rundingan antara kerajaan Persekutuan dan negeri berkaitan perundangan, operasi pelabuhan, kewangan serta sumber manusia mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak, dan semua ini dijangka dimuktamadkan pada tahun ini,” katanya.
Terdahulu, RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 dan RUU Pengisytiharan Suatu Kawasan Daerah Bintulu Menjadi Suatu Port Persekutuan (Pemansuhan) 2024 diluluskan di Dewan Rakyat.
Kedua-dua RUU berkenaan dibentangkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Ketika membentangkan RUU Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) 2024 untuk bacaan kali kedua, Loke memaklumkan, pada 20 Februari 2023, kerajaan Sarawak mengemukakan satu memorandum kepada Kementerian Pengangkutan mengenai hasrat untuk menukar status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri Sarawak.
Lanjutan itu, Loke berkata, kementeriannya melaksanakan tindakan sewajarnya bagi memperhalusi permohonan itu bersama kerajaan negeri dan satu memorandum Jemaah Menteri mengenai hasil perbincangan itu dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Mac 2024.-BH Online