Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Dr Ramli Mohd Nor hari ini membuat laporan polis susulan hantaran dikatakan berbaur hasutan dan memfitnah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu di laman TikTok.

Bercakap pada sidang media di Parlimen, Ramli berkata laporan dibuat di Balai Polis Sentul dekat sini, selepas mendapati hantaran pemilik akaun @apong606 itu sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands percaya hantaran terbabit dibuat selepas pemilik akaun itu tidak bersetuju dengan tindakan Ramli melakukan sesi libat urus bagi cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Orang Asli 1954.

Ramli juga mempertimbang untuk memfailkan saman sivil dengan tuntutan bernilai sekurang-kurangnya RM1 juta, selain pelaku perlu membuat permohonan maaf secara terbuka, selepas siasatan selesai.

“Kenyataan ini memalukan serta menjatuhkan maruah saya sebagai satu-satunya Ahli Parlimen mewakili masyarakat Orang Asli.

“Laporan polis hari ini dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu secara sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, selain Seksyen 505(C) dan Seksyen 499 kanun sama.

“Saya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membabitkan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan rangkaian untuk menghantar apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi palsu,” katanya.

Sementara itu, beliau berharap pihak berkuasa dapat melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap kenyataan berbaur fitnah dan hasutan dimuat naik pemilik akaun terbabit.

“Saya mengingatkan orang ramai terutama masyarakat Orang Asli supaya tidak menyebarkan sebarang fitnah melalui platform media sosial masing-masing, jika ia tidak tepat mahupun sahih,” katanya.-BH Online