Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Komunikasi mengumumkan Pakej Rahmah Prabayar Siswa pada harga tidak lebih RM30, dengan minimum permulaan data 30 gigabait (gb) untuk tempoh sah laku selama 180 hari.

Menterinya, Fahmi Fadzil, berkata pakej itu adalah khusus untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi latihan kemahiran awam (ILKA) terpilih.

“Pakej Rahmah Prabayar Siswa boleh dilanggan mulai 16 Ogos depan menerusi lima syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech dan YTL Communications (YES).

“Tawaran pakej ini merupakan hasil peluasan Pakej Internet Mudah Alih (Prabayar) Rahmah yang diperkenalkan pada tahun lalu,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Etika dan Tanggungjawab Komunikasi Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Menjelaskan lanjut, Fahmi berkata, pakej ditawarkan itu adalah usaha Kementerian Komunikasi dengan kerjasama strategik syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit, sejajar hasrat kerajaan menangani peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi membantu golongan pelajar ketika sesi pengajian dan pembelajaran.

Katanya, maklumat lanjut mengenai Pakej Rahmah Prabayar Siswa akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, manakala senarai lengkap IPTA dan ILKA yang terpilih pula bakal dimaklumkan melalui laman sesawang Kementerian Komunikasi: www.komunikasi.gov.my.

Pada sidang media kemudian, beliau memaklumkan, Pakej Rahmah Prabayar Siswa boleh dilanggan oleh semua pelajar di IPTA dan ILKA.

“Kita akan mulakan (inisiatif berkenaan) untuk semua pelajar IPTA serta ILKA dahulu, dan kemudian kita akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk menyebarluaskan pakej itu.

“Dalam Pakej Rahmah Prabayar Siswa, kerajaan tidak membuat apa-apa bayaran tetapi syarikat telekomunikasi cukup baik hati bagi mengurangkan caj (untuk mahasiswa),” katanya. – BERNAMA