Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada FELDA supaya pengurusan atau sesiapa terkait dengan agensi rancangan tanah kerajaan itu tidak terjebak dengan salah laku dan rasuah.

Perdana Menteri menegaskan tidak teragak-agak mengarahkan agensi penguatkuasa undang-undang seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan terhadap FELDA.

Dalam masa sama, beliau juga mahu Ketua Audit Negara mengambil tindakan serupa terhadap FELDA, seandainya pengurusan agensi milik kerajaan itu terlibat salah laku wang rakyat. 

“Sebab itu (dalam) Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), saya kata Ketua Audit (Negara), SPRM jalankan kerja. Jangan kira siapa termasuk ke atas FELDA (sekali pun). 

“FELDA pun saya beri peringatan (agar tidak terjebak salahlaku). Siapa salah jaga! Tindakan akan diambil.

“Kita lakukan ini sebab nak selamatkan rakyat dan negara ini. Itu soalnya,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 peringkat kebangsaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berharap pengurusan yang bukan mewakili lembaga pengarah dilantik dalam kalangan mereka yang cekap untuk menguruskan hal ehwal dana, contohnya dalam koperasi FELDA.

Anwar turut menegaskan tidak mahu tender berkait FELDA diuruskan atau diberikan kepada anak, menantu atau kroni.

Dalam masa sama, beliau akui ada pihak yang tidak berpuas hati bahkan berang dengan tindakannya kerana tidak bertolak ansur dengan perbuatan salah laku, namun ia langsung bukan penghalang kepada Kabinet untuk membersihkan penyelewengan.

“Ini tanggungjawab kita. Kadang-kadang operasi koperasi itu penting sebab kadang-kadang lembaga pengarah pilih orang tidak mahu dalam pengurusan dana sehingga tidak diuruskan secara cekap.

“Kalau tentang semua tender kerajaan termasuk FELDA, FGV dan koperasi, biar betul-betul telus supaya jangan ada usaha menyakau wang rakyat.

“Saya faham kenyataan ini tidak popular tetapi saya ada tanggungjawab. Dalam beberapa tahun (pentadbiran Kerajaan Perpaduan), kita nak pastikan satu sistem perubahan.

“Hijrah betul-betul dari segi pemikiran dan pelaksanaan kita. Pastikan pengurusan cekap. Siapa kata negara tidak ada wang? Tapi (sebenarnya) hilang, (kena) bayar hutang banyak, beban tinggi, kontrak hilang ratusan juta. Saya minta SPRM siasat habis-habisan badan amanah,” katanya.-BH Online