Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan meneliti dakwaan langkah kurang popular seperti penyasaran subsidi diesel sebagai antara punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Sabtu lalu.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata proses ‘post mortem’ keputusan PRK itu sedang dijalankan dan seterusnya akan dibincangkan oleh kepemimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Kita semua sedar tarikh hari mengundi di Sungai Bakap (6 Julai 2024) kurang sebulan daripada pengumuman penyasaran subsidi diesel (9 Jun 2024), jadi proses bagi mereka yang sudah memohon untuk mendapatkan Budi Madani masih berjalan, ada yang menunggu fleet card di bawah Skim Kenderaan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Untuk mengatakan ia (kekalahan PRK Sungai Bakap) berkait dengan satu dasar semata-mata atau beberapa dasar, ini yang melalui ‘post mortem’ kita akan teliti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, dekat Manjoi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan penganalisis politik dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian yang mendakwa kekalahan di calon PH di PRK Sungai Bakap bukan lagi gelombang hijau, tetapi manifestasi protes rakyat kepada kerajaan.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, bagi mengatasi defisit sokongan rakyat, kerajaan akan menambah baik kaedah penyampaian maklumat mengenai sesuatu program atau dasar baharu supaya serasi dengan pemahaman rakyat.

“Walaupun kita berusaha menyampaikan maklumat melalui semua saluran media, termasuk media sosial, tetapi mungkin manifestasi penyampaian maklumat itu perlu kita ubah suai supaya komuniti di satu-satu lokasi memahami perkara itu. 

“Kedua, hujah balas daripada pihak pembangkang itu kita perlu urus dengan cara yang lebih teliti, ini yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada saya,” katanya.

Sabtu lalu, calon Perikatan Nasional, Abidin Ismail menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin pada PRK Sungai Bakap.

Abidin, 56, secara rasmi menang dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya daripada PH, Dr Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi.-BH Online