Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga pengarah dan pengkritik filem dan budaya, Mansor Puteh yang menghembuskan nafas, pagi tadi.

Fahmi dalam hantaran di Instagram hari ini, mendoakan keluarga Allahyarham tabah dengan ujian itu.

“Menerima berita sedih pada awal Muharram… Kembalinya ke rahmatullah seorang pengarah serta pengkritik filem dan budaya, Mansor Puteh.

“Pemergian beliau adalah kehilangan besar buat industri seni tanah air.

“Takziah buat seluruh anggota keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah,” tulisnya.

Terdahulu Mansor, 70, dilaporkan terkorban dalam nahas jalan raya di Alam Damai, Cheras, di sini, kira-kira jam 10 pagi tadi.

Berita duka itu dikongsi oleh pengarah dan pelakon, Mior Hashim Manap.

Jenazah dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk pemeriksaan dan bedah siasat yang selesai pada jam 3.30 petang.

Allahyarham Mansor dimandi, dikafankan dan disembahyangkan di HUKM dan dibawa pulang ke kampung halamannya di Melaka kira-kira jam 5.15 petang tadi.

Jenazah dijangkakan dikebumikan selepas Maghrib di Tanah Perkuburan Islam Durian Daun, Melaka, malam ini.-BH Online