Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Puad Zarkashi menyifatkan alasan Tan Sri Noh Omar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta semalam adalah ‘low class’(berkelas rendah).

Ini kerana bekas pemimpin UMNO itu menggunakan alasan kecewa terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak mengenai kebenaran kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 agar bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

“Noh Omar masuk Bersatu kerana kecewa permohonan Najib ditolak oleh mahkamah dua hari lalu. Sanggup jual nama Najib untuk lompat parti.

Low class punya alasan. Noh Omar bukan die hard(penyokong tegar) Najib. Apa dia boleh buat untuk membela Najib kalau masuk Bersatu?

“Muhyiddin dan Bersatu lagi kuat mahu Najib dipenjarakan. Lagi lama ditahan lagi bagus.

“Sebenarnya Noh masuk Bersatu kerana dia mengidam jadi calon kerusi Tanjung Karang. Dia yakin kerusi itu akan dikosongkan,” katanya di Facebook miliknya hari ini.

Semalam, Noh yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor memohon menyertai Bersatu secara dalam talian.

“Saya mengisi borang Bersatu semalam. Saya mohon secara dalam talian, tiada siapa pun tahu, kemudian saya terus dapat sijil menjadi ahli Bersatu,” katanya menerusi rakaman video yang dikongsikan kepada MalaysiaGazette.

Beliau memberitahu, walaupun keputusan untuk menyertai Bersatu itu agak berat dan lebih setengah tahun baru beliau berbuat demikian kerana pesanan Najib yang ditemuinya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

Pada 27 Januari lalu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang dipecat daripada UMNO setelah didakwa melanggar disiplin parti mengikut Perlembagaan kerana kesalahan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pemecatan Noh selepas terdapat laporan dan bukti kukuh beliau melakukan sabotaj terhadap calon Barisan Nasional (BN) Tanjung Karang pada PRU-15, Datuk Habibah Mohd Yusof.

Noh juga terpalit dengan dakwaan kononnya menaja seorang calon bebas iaitu pegawai khasnya yang bertanding di Parlimen Tanjong Karang pada PRU-15 lalu. – MalaysiaGazette