Malaysia mahu kekal berada dalam kedudukan ke-10 terbaik sebagai negara paling aman di dunia dalam Indeks Keamanan Global (GPI).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berikutan itu pelbagai usaha akan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya sasaran tahun depan itu dapat dicapai.
“Kami unjur untuk kekalkan kedudukan 10 teratas dan pihak polis akan meneliti semua indikator yang memberi pemberat kepada bacaan indeks berkenaan.
“Ia bukan sahaja polis tetapi semua pemegang taruh di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Larian Hari Polis ‘Community Safety Run’ Sempena Peringatan Hari Polis ke-217 di Dataran Putrajaya, hari ini.
null
Media pada 15 Jun lalu melaporkan Malaysia naik sembilan anak tangga dalam GPI 2024, sekali gus berjaya menduduki tempat ke-10 sebagai antara negara paling aman di dunia.
Menurut GPI 2024 yang dikeluarkan oleh Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), keputusan itu adalah di tengah-tengah kemerosotan tahap purata keamanan global yang menyaksikan penurunan sebanyak 0.56 peratus dan ini adalah tahun kelima berturut-turut ia merosot.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata kedudukan dalam GPI penting dan perlu diberi perhatian kerana isu keamanan itu menjadi antara faktor untuk menarik minat pelabur melabur ke negara ini.
“Kenapa penting kita bagi perhatian (GPI) sebab pelabur melihat indeks seperti ini sebelum dia nak datang (labur) duit mereka yang berbilion, dia nak tahu jaminan keamanan dan ketenteraman awam.
“Ia jadi satu petunjuk penting untuk segmen pelaburan dan beberapa pihak lain yang akan menyumbang kepada peningkatan prestasi dalam GPI,” katanya.-BH Online