Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan mengumpul data berkaitan kos yang terbabit daripada semua pemain industri minyak sawit di negara ini sebelum cadangan semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata cadangan terbabit akan dihantar kepada MOF sebelum pembentangan Belanjawan 2025.
“Kita buat satu purata dan melihat sama ada kos untuk mengeluarkan satu tan minyak sawit mencecah RM3,000. Jika harga pasaran CPO (minyak sawit mentah) tidak mencecah RM3,500, takkan kita nak panggil WPL?
“Sekarang kos sudah meningkat. Sebelum bajet (cadangan diserahkan kepada MOF),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang Kali Ke-36 Tahun 2024 di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, Johari dilaporkan berkata, harga minyak sawit akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara-negara pengeluar lain jika WPL ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.
Sebelum ini, KPK sudah meneliti isu levi keuntungan luar biasa yang dibangkitkan oleh penggiat industri selain turut mengadakan perundingan dengan pihak berkaitan.
Kadar WPL sebanyak tiga peratus dikenakan terhadap harga minyak sawit melebihi RM3,000 satu tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,500 satu tan di Sabah dan Sarawak.-BH Online