Sheikh Al-Azhar, Al-Sharif Profesor Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb tiba di Malaysia malam ini bagi memulakan lawatan khas empat hari hingga Jumaat ini atas undangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesawat komersial yang membawa Sheikh Al-Azhar mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini pada 10.42 malam dan disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sejurus tiba, beliau diberi sambutan kawalan kehormatan setempat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja yang diketuai oleh Kapten Raja Azri Syahir Raja Mohd Zulkifli.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sheikh Al-Azhar akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya bagi membincangkan usaha meningkatkan kerjasama di antara Malaysia dan Mesir terutama dalam bidang hal ehwal Islam dan pendidikan.
Kenyataan itu menyebut Sheikh Al-Azhar turut dijadualkan menghadiri dan memberi ucapan pada Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series di Seri Perdana.
Sebagai tanda penghargaan atas sumbangan beliau kepada pemikiran dan pembangunan Islam, Sheikh Al-Azhar akan menerima ijazah doktor kehormat daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam satu upacara khas di Kuala Lumpur.
Lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, yang berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, detik bersejarah dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Arab Mesir.
Menurut Wisma Putra, ini juga membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat di antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif serta dinamik.
Mohd Na’im sebelum ini berkata, lawatan rasmi Sheikh Al-Azhar akan memberi makna yang besar kepada usaha pengukuhan perpaduan umat Islam, selain memperkukuh keakraban hubungan Malaysia dan Mesir. – BERNAMA