Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jaminan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan peluang melanjutkan pengajian pada peringkat matrikulasi dan program asasi universiti awam menunjukkan kerajaan telah bersedia untuk melaksanakan perkara tersebut.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata berhubung perkara berkenaan, kerajaan mempunyai kaedah sesuai untuk memastikan semua pelajar cemerlang mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian termasuk pada peringkat matrikulasi tanpa ‘mengorbankan’ kuota yang diperuntukkan kepada Bumiputera.

“Mungkin ada yang mempersoalkan itu dan ini… ya mereka berhak bertanya perkara berkenaan tapi yang paling penting ialah semua yang mendapat 10A ke atas seperti disebutkan Perdana Menteri itu kita akan fasilitate (memudahkan).

“Itu sudah pun dijelaskan Perdana Menteri tanpa mengorbankan kuota yang telah diperuntukkan kerana nak bagi tempat itu. Tapi yang pasti, semua pelajar yang mendapat 10A ke atas akan diterima dan diusahakan sehingga kita berikan tempat kepada mereka kerana mereka adalah pelajar terbaik,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dilaporkan mempersoalkan bagaimana program matrikulasi dapat menampung semua pelajar yang layak tanpa menjejaskan kuota bumiputera

Beliau turut dilaporkan berkata, meskipun Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Zambry telah mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu, namun ia tidak menggariskan secara khusus bagaimana perkara itu akan dilaksanakan berdasarkan dua prinsip utama seperti diumumkan Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Zambry turut memberi jaminan bahawa semua permohonan yang diterima akan diproses sebelum proses penempatan pelajar akan dilakukan berdasarkan ketersediaan tempat pengajian untuk mereka.

“Ini berbeza daripada segi bilangan sebab program matrikulasi dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ia bergantung kepada jumlah pelajar yang ambil peperiksaan dan juga akan diberikan tempat berdasarkan ‘availability’ (ketersediaan).

“Seperti kita tahu ada pelajar itu akan mendapat tempat di matrikulasi ada pula kita bagi peringkat universiti dan kita juga ada program program asasi yang akan kita bahagi-bahagikan (penempatan pelajar),” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan adalah tidak wajar untuk terus mempersoalkan sama ada pelajar cemerlang terbabit benar-benar akan mendapat tempat atau tidak. 

“Apabila kita menyatakan bahawa kita akan memberikan tempat, maka kita akan bagi tempat.

“Jadi jangan tanya soal-soal bagaimana (caranya nak bagi tempat) jadi yang paling mustahak ialah mereka yang mendapat kelulusan 10A ke atas itu akan diberikan tempat,” katanya.

Terdahulu Zambry melawat Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) di Bertam yang berjaya mendapat pengiktirafan BrachyAcademy sebuah organisasi berpangkalan di Belanda sebagai sebagai pusat kecemerlangan pendidikan BrachyAcademy.

Ini memandangkan IPPT adalah satu-satunya pusat brakiterapi yang merawat kanser lidah dalam jumlah tinggi menggunakan teknik dikenali sebagai HyBIRT dan menjadi perintis kepada teknik tersebut di seluruh dunia.-Harian Metro Online