Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang mendapatkan maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk Tentera Darat Malaysia (TDM). 

Perkembangan itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen, Khamis lalu.

“Pada masa ini, Kementerian Pertahanan sedang mendapatkan pandangan serta nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara berhubung perkara ini, ” katanya. 

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan dibangkitkan Nordin Ahmad Ismail (PN- Lumut) . 

Nordin mahu mengetahui apakah perancangan Kementerian Pertahanan ekoran laporan bahawa TDM akan mengusulkan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk TDM kepada kementerian itu.

Ia berikutan kelewatan penghantaran pertama helikopter yang terlibat.

Memetik laporan BH pada 11 Mei lalu, TDM akan menyusul pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk kepada TDM kepada Kementerian Pertahanan, susulan kelewatan penghantaran pertama helikopter berkenaan. 

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan, berkata TDM amat memerlukan keupayaan aset itu bagi melancarkan tugas operasi dan latihan anggota namun pihak kontraktor gagal memenuhi janji dimeterai.

“Sekiranya Mei ini mereka masih gagal memenuhi obligasi ini, TDM akan mengambil tindakan tegas iaitu mengusulkan kepada kementerian supaya kontrak sewaan Black Hawk ini dibatalkan, ” katanya.-BH Online