Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Langkah kerajaan yang mengekalkan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini dibuat dalam usaha untuk membantu menurunkan harga barang sekali gus meringankan kos sara hidup rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dasar penyasaran subsidi elektrik yang dilaksanakan tahun lalu bukan untuk menjejaskan majoriti rakyat di negara ini.

Tegasnya, walaupun dasar penyasaran subsidi itu dikritik hebat ia telah berjaya menyelamatkan dana negara sehingga RM4.6 bilion.

“(Dalam hal ini) maknanya, pengguna terkaya masih bayar hampir penuh dan orang asing sekitar 3.84 juta orang dapat manfaat subsidi dan mengapa kita harus untuk membela orang asing yang tak bayar cukai.

“Jadi apabila berjaya langkah (penyasaran subsidi) itu, ia seperti kita tarik harga pengapungan ayam, kita dah jimat RM1.2 billion. Sekarang kita mampu (tangani) kos sara hidup (dengan) menurunkan lagi kadar (tarif) elektrik bagi syarikat besar dengan maksud mereka (dapat) membantu mengurangkan harga (barangan).

“Hal ini, kita pantau apakah penurunan kadar elektrik bagi syarikat besar domestik ini akan bawa kesan penurunan harga barang (nanti)” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bumiputera Negeri Pulau Pinang di sebuah hotel di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Dalam mesyuarat berlangsung hampir dua jam itu pelbagai isu dan perkara dibincangkan antaranya membabitkan peluang pekerjaan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang kesemuanya akan dibawa ke Parlimen untuk tindakan selanjutnya.

Terdahulu, media melaporkan pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) 1 sen per kilowatt sejam (kWj) antara 1 Julai hingga 31 Disember ini. 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini, berkata ia selari keputusan kerajaan yang menetapkan tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung sepanjang tempoh berkenaan. 

Selain itu, katanya, surcaj bagi kategori lampu jalan (tarif G dan G1) seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) 

diturunkan sebanyak 1 sen/kWj bagi tempoh sama.-BH Online