Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap pembangunan baharu yang berteknologi tinggi seperti projek kereta kabel Bukit Bendera, tidak melupakan aspek alam sekitar dan budaya setempat dalam seni binanya.

Beliau berkata, walaupun teknologi moden dengan infrastruktur yang hebat mengagumkan, ia sangat merugikan jika pembangunan itu gersang budaya, khususnya di Bukit Bendera yang mempunyai banyak ciri-ciri yang unik.

“Dalam usaha kita mempromosikan kereta kabel Bukit Bendera dengan teknologi moden, kita mesti sentiasa mementingkan alam sekitar dan ciri-ciri budaya Pulau Pinang dan Malaysia yang unik supaya ia kekal menarik.

“Projek ini sememangnya mengambil kira aspek persekitaran dalam rancangan pembinaannya, tapi kita juga mahu tekankan tentang budaya supaya ada keindahan dan kelainan dalam bidang seni bina, yang diserasikan dengan kedudukan Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kereta Kabel Bukit Bendera, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing dan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memuji kerajaan Pulau Pinang yang terus memegang kedudukan penting dalam ekosistem semikonduktor dunia dan menjadi pilihan pelabur asing dalam bidang berkenaan.

Justeru, Anwar berkata, kerajaan Persekutuan akan lebih memberi perhatian kepada Pulau Pinang khususnya dalam pembangunan prasarana asas bagi menaikkan keupayaan negeri sebagai pusat industri dan pelancongan yang baik.

“Fokus kerajaan negeri itu betul dan saya harap Pulau Pinang akan terus meningkatkan program latihan dan bersinergi dengan Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sumber Manusia dan lain-lain.

“Dengan ini, keupayaan anak-anak Pulau Pinang dapat diangkat lebih tinggi dalam bidang kejuruteraan, sains serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Sementara itu, Chow berkata, projek mercu tanda yang diilhamkan oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Hartasuma Sdn Bhd dan dijangka siap pada suku ketiga 2026 itu menandakan langkah penting dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan infrastruktur pelancongannya.

Selain itu, beliau berkata, projek terbabit dapat memperbaiki ketersambungan dan akses ke Bukit Bendera, di samping mengubah destinasi bersejarah itu menjadi destinasi yang wajib dikunjungi.

“Pada 2023, Bukit Bendera menerima 1.67 juta pengunjung, menghampiri angka pra pandemik iaitu sebanyak 1.9 juta pengunjung pada 2019,” katanya.-Harian Metro Online