Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membangunkan Pelan Induk KDN Berhubung Kawalan Keselamatan Sempadan Negara dalam usaha pengukuhan kawalan keselamatan di sempadan.

Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia akan menerangkan cadangan rangka pelan induk komprehensif melalui pembangunan strategi dan pelan tindakan bersepadu, membabitkan KDN dan agensi kawalan sempadan lain.

Beliau berkata, pelaksanaan pelan itu dirangka berdasarkan dua fokus strategi iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan dan memperkasa kapasiti kawalan di perbatasan.

“Fokus strategi dirangka untuk memperkukuh kawalan keselamatan sempadan akan dilaksanakan secara pemusatan kepada lima sempadan hadapan negara.

“Lima sempadan hadapan negara itu masing-masing utara (Kedah, Perlis dan Perak); timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang); selatan (Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor); Sabah dan Sarawak,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Mordi Anak Bimol (PH-Mas Gading) mengenai langkah memastikan bidang kuasa dan kerjasama semua agensi kawalan sempadan membanteras aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan larangan yang semakin berleluasa di sempadan Sarawak-Indonesia.

Mengenai Sistem Kawalan Sempadan Negara (NBCS), Saifuddin Nasution, berkata KDN sedang melaksanakan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Sistem Kawalan NBCS.

Beliau berkata, kajian itu dibuat seiring usaha memperkasa penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi kawalan keselamatan sempadan.

“Cadangan pembangunan NBCS ini adalah sebagai langkah strategik KDN memperkukuh kawalan keselamatan sempadan Malaysia melalui penggunaan teknologi terkini, selari perkembangan teknologi semasa dunia.

“Pembangunan sistem NBCS ini akan dilengkapi sistem pengawasan terkini dan teknologi AI bagi membolehkan operasi tanpa pengawasan, proses kawalan pintar, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar dan pengawasan sepanjang masa secara berterusan.

“Ia bertujuan melindungi sempadan darat dan maritim negara demi keamanan, kestabilan dan kedaulatan negara,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, penggunaan berasaskan teknologi AI itu akan membolehkan pengesahan objek dilaksanakan secara efektif, selain mengelak penggera palsu serta membantu pasukan keselamatan membuat keputusan untuk meningkatkan kecekapan keseluruhan kawalan keselamatan di sempadan.

“KDN ketika ini, dalam pelaksanaan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan NBCS di bawah peruntukan Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-12.

“Kajian ini dilaksanakan Institut Keselamatan Awam Malaysia KDN melalui pelantikan pasukan penyelidik dan pakar universiti awam dengan tempoh kajian selama 14 bulan, mulai 7 September 2023,” katanya.-BH Online