Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menggesa pihak polis mempercepatkan proses serta mengumumkan hasil siasatan berkenaan kes pemain kebangsaan dan Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid pada 5 Mei lalu.

Hannah berkata demikian susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa kecewa dan amat dukacita dengan keputusan ahli-ahli Malaysian Football League (MFL) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kes ketidakhadiran Selangor FC ke perlawanan Sumbangsih, 10 Mei lalu.

“Mengenai titah Sultan Selangor, saya rasa ini berkaitan dengan Faisal Halim.

“Selagi polis belum memaklumkan hasil siasatan mereka, bukan sahaja Sultan Selangor, peminat sukan juga mahu keadilan terhadap isu ini. Mereka mahu tahu perkembangan semasa hasil siasatan.

“Sebab itu, saya menggesa pihak polis untuk maklumkan kepada orang ramai supaya kes ini boleh ke peringkat seterusnya.

“Kalau tiada hasil siasatan itu, orang ramai tidak boleh ‘move on’ kerana Faisal adalah aset negara,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Liga Wanita Nasional di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hannah turut berharap proses mengenai rayuan yang akan dilakukan oleh Selangor FC kepada MFL berjalan lancar sekali gus boleh mencapai situasi ‘menang-menang’ bagi kedua-dua pihak.

“Proses rayuan itu kena habiskan dulu di peringkat MFL. Saya tahu ada platform itu untuk rayuan dan saya dengar Selangor FC akan merayu. Harapan proses rayuan itu berjalan lancar,” katanya.-BH Online