Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perincian berhubung kenaikan gaji penjawat awam akan diumumkan sebelum pembentangan Belanjawan 2025 pada Oktober ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu penting kerana sudah terlalu lama penjawat awam tidak menikmati kenaikan gaji yang setaraf dengan kerja keras mereka selama ini.

“Sudah sekian lama tidak ada satu kenaikan yang bermakna (membabitkan) gaji penjawat awam dalam keadaan kita bagi tekanan lebih kuat sekarang, kerja lebih kuat, pemantauan lebih kuat dan penguatkuasa termasuk SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) lebih hebat, terjah ke kawasan dan jabatan.

“Sebab itu, saya di Parlimen semalam, apabila ditegur, saya tegaskan saya tidak bertolak ansur kerana tanggungjawab kita untuk memberikan apa yang mampu dan munasabah kepada penjawat awam dan insya-Allah saya akan umumkan sebelum bajet atau belanjawan tahun ini,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi 2024 Jabatan Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Perdana Menteri ketika menyampaikan amanat sempena Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula 1 Disember depan.

Kenaikan lebih 13 peratus adalah yang tertinggi pernah diumumkan kerajaan sebelum ini.

Malah, Perdana Menteri memberi jaminan kenaikan gaji penjawat awam seperti diumumkannya, akan diluluskan di Parlimen dengan bergaya pada pembentangan Belanjawan 2025 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, semua parti komponen dalam Kerajaan MADANI termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor memberi sokongan penuh terhadap kenaikan terbabit supaya ia dapat dilaksanakan pada 1 Disember ini.-BH Online