Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tiga elemen iaitu memudahkan, menyesuaikan dan mempercepatkan ditekankan di dalam teras baharu perkhidmatan awam iaitu H.E.M.A.T dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata gabungan tiga elemen itu disifatkan mampu membantu menterjemahkan dasar-dasar kerajaan supaya apa yang digariskan di peringkat atasan akan dapat dirasai rakyat sekiranya penjawat awam memegang prinsip berkenaan.

Katanya, elemen berkenaan diperkenalkan berdasarkan pengalamannya bertugas di beberapa jabatan dan kementerian berkaitan dengan keselamatan yang banyak memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Kita dapat lihat bagaimana rakyat perlu beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan, datang dari jauh dan sebagainya, jadi bertitik tolak dari situlah saya melihat ia sebagai satu keperluan kepada rakyat.

“Perdana Menteri selalu menekankan mengenai tatakelola baik dan bermula dari situlah kita boleh gerakkan segala upaya untuk pastikan perkhidmatan dan keperluan rakyat dipenuhi.

“Memang benar perkhidmatan awam ini besar, jadi kita tidak boleh statik, kita perlu dinamik dan perlu ada idea baharu untuk mudahkan rakyat mendapat perkhidmatan.

“Saya harap kelompok penjawat awam menjadikan prinsip berkenaan sebagai agenda utama untuk pastikan rakyat mendapat perkhidmatan terbaik sebagaimana yang dihasratkan oleh Kerajaan MADANI,”katanya dalam Slot Temu Bual Bicara Naratif TV1, di sini, malam ini.-BH Online