Malaysia disenaraikan dalam kedudukan Tier 2 dalam Laporan Pemerdagangan Orang (TIP) Amerika Syarikat 2024.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata peningkatan ini adalah satu pengiktirafan terhadap kemajuan yang dicapai oleh kerajaan dalam memerangi jenayah itu.
Katanya, kemajuan dicapai termasuklah peningkatan jumlah siasatan, pendakwaan dan sabitan terhadap pemerdagangan orang.
“Selain itu, peningkatan bilangan pakar pendakwa raya pemerdagangan orang, peruntukan bagi perlindungan mangsa serta penambahbaikan program kesedaran awam.
“Negara akan terus mengambil tindakan serius untuk menangani jenayah keji ini dan isu-isu pemerdagangan orang serta memastikan pelaksanaan penuh Pelan Tindakan Nasional Anti Pemerdagangan Orang (2021-2025) (NAPTIP 3.0),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, BH melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan Malaysia dinilai pada Tier 2 Pemerhatian pada 2023 selepas kali terakhir berada pada Tier 2 pada 2017.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia turut menggesa rakan-rakan antarabangsa untuk bekerjasama dalam menangani cabaran bersama dalam isu ini.
“Malaysia juga menggesa negara-negara asal untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam mencegah rakyat mereka daripada menjadi mangsa pemerdagangan serta mendakwa dan menghukum penjenayah yang terbabit di negara asal,” katanya.-BH Online