Malaysia tidak akan mengabaikan dapatan daripada Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2024, sebaliknya semua kayu pengukur boleh dijadikan petunjuk bagi meningkatkan prestasi negara, demikian tegas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau mengakui kedudukan Malaysia dalam ranking yang dikeluarkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) itu bagi 2024 lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, namun tidak perlu panik memandangkan ia hanya salah satu kayu pengukur.
Katanya, ada banyak lagi kayu pengukur daya saing yang lain di peringkat global, seperti Laporan Daya Saing Global (GCR), Indeks Inovasi Global (GII) dan Indeks Kebebasan Ekonomi.
“Satu lagi kita kena ingat, ranking WCR 2024 ini kebanyakannya berdasarkan data 2023. Jadi, kedudukan dalam WCR 2024 mencerminkan prestasi Malaysia pada 2023 berbanding 2022.
“Sebagai contoh, data yang digunakan termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2023 sebanyak AS$399.6 bilion berbanding AS$407 bilion pada 2022,” katanya dalam satu hantaran di laman media sosial rasmi beliau.
Tengku Zafrul berkata, ada beberapa komponen yang meningkat tahun ini dan akan dicerminkan dalam ranking tahun depan.
Beliau berkata, jika dilihat pada WCR, penurunan kedudukan daya saing Malaysia sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ketidaktentuan dalam kestabilan kadar pertukaran mata wang.
“Secara ringkasnya, bila kadar mata wang tidak stabil, maka penilaian bagi banyak aspek lain juga akan terjejas.
Kadar kestabilan ringgit terkesan disebabkan oleh faktor luaran seperti kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) dan kebimbangan geopolitik yang berterusan,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, penurunan lain adalah dari segi eksport produk berteknologi tinggi.
Beliau berkata, eksport berteknologi tinggi adalah produk dengan komponen penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang tinggi seperti dalam bidang aeroangkasa, komputer, farmaseutikal, instrumen saintifik, kimia dan mesin elektrik.
“Walau bagaimanapun, penurunan kedudukan Malaysia dalam ranking eksport berteknologi tinggi adalah situasi jangka pendek. Ini kerana banyak pelaburan baharu tahun ini adalah daripada syarikat elektrik dan elektronik (E&E) sedia ada di Malaysia serta syarikat multinasional.
“Semua ini akan mula memberi kesan dalam 12 hingga 18 bulan akan datang dan akan menaikkan semula kedudukan kita. Pada masa sama, World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) mengunjurkan peningkatan jualan semikonduktor global tahunan sebanyak 16 peratus pada 2024 dan 12.5 peratus pada 2025.
“Malaysia adalah pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia. Jadi bila permintaan untuk semikonduktor naik, maka secara automatik eksport berteknologi tinggi negara juga akan naik,” katanya.
Tengku Zafrul menjelaskan, satu lagi faktor yang menyebabkan penurunan kedudukan adalah subsidi kerajaan memandangkan pada 2023 peruntukan diberikan untuk subsidi adalah RM64 bilion, namun perbelanjaan sebenar 26 peratus lebih tinggi iaitu RM81 bilion.
“Jadi, apabila penilaian dibuat, pengurusan fiskal Malaysia nampak teruk sebab perbelanjaan jauh melebihi bajet. Bagi Malaysia, petunjuk subsidi kerajaan jatuh ke tangga 53 daripada tangga 21 pada 2023,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, dengan pendekatan subsidi bersasar, golongan yang memerlukan masih terus dibantu, tetapi pada masa sama dapat mengurangkan risiko lonjakan perbelanjaan kerajaan jika berlaku perkara luar jangka seperti konflik Ukraine-Russia.-BH Online