Kerajaan akan memberikan keutamaan kepada syarikat tempatan sebagai operator mengendalikan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, dekat Kuala Langat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia selaras dasar kerajaan terhadap aset strategik yang mana syarikat tempatan lebih menguasai berbanding luar negara.
“Memang banyak (kertas cadangan dari syarikat yang berminat), tetapi kita sudah cakap syarikat tempatan akan diberikan keutamaan.
“Sebab ini aset strategik dan dasar kita mana-mana operator pelabuhan, ia mesti 51 peratus syarikat tempatan.
“Kalau hendak (menjalankan) usaha sama dengan syarikat asing pun, syarikat asing hanya boleh memiliki 49 peratus dan ini dasar kita,” katanya selepas menyempurnakan perasmian perjalanan dan persinggahan sulung kapal kontena, MV MTT Bintangor di Pulau Indah hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, selaras dasar penswastaan, pembangunan pelabuhan ketiga itu juga akan dilaksanakan pihak swasta seperti pelabuhan lain.
“Model pembangunan pelabuhan ketiga ini memang diswastakan, kerajaan tidak lagi membina pelabuhan sendiri.
“Sekarang ini kita sedang melihat model pelaksanaan, macam mana ia hendak membangunkan.
“Sebab pihak berkenaan bukan sahaja membangunkan pelabuhan tetapi infrastruktur, jalan ke pelabuhan, bekalan elektrik, bekalan air (kerana) semua belum ada dan ini perlu diambil kira terlebih dahulu,” katanya.
Bagaimanapun katanya, tiada had masa ditetapkan kerajaan memandangkan perincian terhadap pembangunan pelabuhan ketiga itu masih dibuat.
“Memang kajian semua sudah dibuat tetapi masih memerlukan banyak perincian kerana Pulau Carey adalah kawasan baharu yang tiada Infrastruktur dan juga ada masyarakat Orang Asli.
“Banyak pertimbangan perlu diambil kira sebelum memulakan proses pembangunan di pelabuhan ketiga itu,” katanya.
Februari tahun lalu, Loke mengumumkan Pulau Carey di Kuala Langat bakal menjadi pelabuhan mega ketiga selepas dua pelabuhan utama terletak di Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Utara, menerusi perancangan jangka panjang Kementerian Pengangkutan.
Menurutnya, Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) sudah membuat kajian selama dua tahun sejak 2019 yang menunjukkan kebolehlaksanaan keadaan semula jadi, paras lautnya, ideologinya, ia amat sesuai dijadikan pelabuhan ketiga di Selangor.-BH Online