Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan, Israel bertanggungjawab untuk memulihkan semula keselamatan dan ketenteraman awam di Semenanjung Gaza supaya bantuan kemanusiaan dapat disampaikan kepada penduduknya.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata berlaku ‘pelanggaran undang-undang secara menyeluruh’ di Gaza di mana badan antarabangsa itu memberi amaran krisis kebuluran semakin meruncing dalam kalangan kira-kira 2.3 juta penduduk berikutan perang Israel-Hamas yang sudah berlarutan lebih lapan bulan.

“Kebanyakan trak membawa bantuan kemanusiaan di dalam Gaza kini disamun.null

“Gaza dihambat keadaan yang begitu kacau-bilau dan tiada pihak berkuasa di kebanyakan wilayah,” katanya kepada pemberita, semalam, sambil memaklumkan bahawa Israel menghalang PBB daripada menggunakan polis awam Palestin untuk memastikan keselamatan bantuan.

Sambil menjelaskan keadaan amat sukar untuk mengedarkan bantuan di dalam Gaza, Guterres berkata, perlu ada mekanisme untuk menjamin terdapat undang-undang dan peraturan minimum untuk membolehkan usaha itu dilaksanakan.

“Itu sebabnya gencatan senjata sangat diperlukan untuk mengatur dan melaksanakan pelan secara tersusun bagi tujuan itu,” katanya.

Sebelum ini, tentera rejim Zionis mengumumkan pemberhentian sementara serangan pada waktu siang secara harian di sepanjang jalan utama di selatan Gaza yang digunakan oleh PBB dan kumpulan kemanusiaan untuk mengakses lintasan Kerem Shalom dari Israel.

Namun jurucakap PBB, Farhan Haq, semalam berkata selain pertempuran antara Israel dengan Hamas, risiko jenayah juga telah ‘secara efektif menghalang akses kemanusiaan’ ke kawasan kritikal, termasuk Kerem Shalom.

“Sebagai kuasa yang menjajah, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa Israel untuk memulihkan semula keselamatan dan ketenteraman awam seboleh mungkin serta memudahkan akses kemanusiaan yang selamat supaya bantuan dapat sampai kepada orang awam memerlukan,” katanya.

Sementara itu Duta Israel ke PBB, Gilad Erdan, enggan mengulas perkara berkenaan. – REUTERS