Dua isu utama yang memberi kesan kepada prestasi semasa daya saing negara seperti ditekankan dalam laporan Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 sudahpun diselesaikan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media selepas merasmikan Konsortium Impak Positif, Perdana Menteri berkata, dua isu berkenaan ialah inisiatif penyasaran subsidi serta kelemahan nilai ringgit.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan pada masa sama turut mengambil pertimbangan dan teguran dalam laporan WCR yang disediakan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) untuk terus memperbaiki prestasi negara.
“Tidak boleh dinafikan pada suku (pertama) 2024 memang ada peningkatan dalam semua soal yang dibangkitkan (dalam laporan WCR).
“Antara kritikan kerasnya adalah kerana kegagalan kita melaksanakan penyasaran subsidi. Ini kita sudah baiki, maknanya sebahagian besar masalah (sudah) selesai ataupun positif,” katanya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono dan Duta Besar Filipina ke Malaysia, Maria Angela Abrera Ponce.
Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam WCR 2024 dan keempat dalam kalangan negara di ASEAN selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.
Malaysia jatuh tujuh anak tangga daripada kedudukan ke-27 yang dicatatkan pada 2023, demikian menurut Laporan WCR dikeluarkan IMD, baru-baru ini.
Mengenai isu kelemahan ringgit, Perdana Menteri mengakui negara berdepan masalah mata wang yang mencabar, tahun lalu.
“Bagaimanapun, (nilai ringgit bagi) suku (pertama) tahun ini sudah ada peningkatan.
“Jemaah Menteri semalam, melihat dalam konteks ini dan lebih terbuka (mengenai) kekuatan serta kelemahan. Syukur Alhamdulillah kerana beberapa teguran diambil kira dan semua pihak insya-Allah akan bekerja lebih pantas dan cekap untuk perbaiki (prestasi negara),” kata Ahli Parlimen Tambun itu.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Konsortium Impak Positif adalah pemangkin dan kesan pertamanya adalah pencerahan kepada masyarakat pelbagai lapisan.
“Ini kerana, peranan media adalah memberikan dokongan kepada dasar yang diterima pakai ketiga-tiga negara (Malaysia, Indonesia dan Filipina) serta konsisten dengan ESG (rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus).
“Jadi saya fikir pengalaman Malaysia, Indonesia dan Filipina bersekali untuk melihat kekuatan masing-masing untuk kita perbaiki dan pertingkatkan (usaha melestarikan alam sekitar, sosial dan tadbir urus),” katanya.-BH Online