Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seorang anggota tentera daripada Batalion Ke-7 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Kem Kidurong, Bintulu didapati hilang ketika bertugas dalam Op UKUR di Limbang, Sarawak.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan anggota berkenaan, Prebet Muhammad Syafiq Hilmi Abd Halim disedari hilang kira-kira jam 12 tengah hari pada 18 Jun lalu.

Ketika itu, katanya Ketua Kumpulan menyedari anggota berkenaan beliau tiada di posisi belakang kumpulan. 

Kejadian berlaku pada kedudukan dua kilometer (km) di atas permatang sempadan Malaysia-Brunei dari tanda sempadan E500 menghala arah E600.

“Usaha mencari dan mengesan anggota segera dilaksanakan membabitkan dua anggota TDM dan lima anggota Jabatan Ukur dan Pemetaan (JUPEM), namun gagal menemuinya.

“Usaha pencarian dipergiat TDM mulai 19 Jun lalu di kawasan itu dengan membabitkan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan agensi awam lain yang dikoordinasikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga sudah mengatur gerak aset mereka dalam membantu pencarian bersama TDM,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Menjelaskan mengenai Op UKUR, Sel Perhubungan Raya Markas TDM berkata, ia operasi dilaksanakan di bawah kawalan Markas 31 Briged Sempadan dengan kerjasama JUPEM Sarawak.

Ia membabitkan penempatan anggota TDM sebagai pengiring keselamatan kepada pasukan JUPEM yang sedang melakukan penandaan dan pengukuran sempadan Malaysia-Brunei di kawasan pengukuran Ulu Tutong (E500) ke Bebuloh (E600), Limbang mulai 11 Jun hingga 2 September.

“Diharapkan anggota berkenaan dapat ditemui dalam keadaan selamat dan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu misi pencarian ini serta menjaga perasaan waris anggota yang terbabit,” katanya.-BH Online