Malaysia yakin meraih peluang perniagaan besar bernilai sekitar RM13 bilion hasil limpahan daripada Ekspo Dunia 2025 yang akan diadakan di Osaka, Jepun selama enam bulan bermula 13 April hingga 13 Oktober 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sasaran itu dijangka daripada eksport dan pelaburan melalui penyertaan Malaysia di ekspo terbabit.
Beliau berkata, sasaran itu juga melebihi RM8.3 bilion yang dijana melalui nilai perdagangan dan pelaburan daripada Ekspo Dunia Dubai dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022.
“Sebelum ini, Malaysia telah menyertai Ekspo Dunia Dubai pada 2022 membabitkan lebih daripada 400 syarikat Malaysia dan menjana hampir 5,000 peluang perniagaan.
“Justeru, MITI optimis Ekspo Dunia 2025 mampu menjana potensi bernilai sekitar RM13 bilion untuk eksport dan pelaburan daripada penyertaan Malaysia.
“MITI teruja untuk mengetuai kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan utama termasuk kementerian, agensi, kerajaan negeri dan perniagaan,” katanya selepas Majlis Peluncuran Penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025 Osaka di sini, hari ini.
Majlis dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, MITI berhasrat untuk memanfaatkan platform strategik itu bagi menarik pelaburan berkualiti dan teknologi tinggi ke Malaysia serta untuk memperluas pasaran sedia ada dan meneroka pasaran baharu.
Beliau berkata, kerajaan juga akan memudah cara perbincangan perniagaan melalui Pavilion Malaysia dengan menyediakan ruang dan pelbagai sokongan untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan negara serta membina perkongsian strategik.
Katanya, MITI juga akan mengetuai kerjasama antara pelbagai pihak berkepentingan dalam menonjolkan kemajuan dan aspirasi Malaysia dalam pelbagai sektor utama, termasuk reformasi industri, pertanian lestari, tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hijau, kehidupan pintar, pengurusan alam sekitar yang lestari, selain industri halal.
“Sektor-sektor yang difokuskan ini adalah sejajar dengan sektor strategik untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia, menjadikan Pavilion tempat yang ideal bagi perniagaan Malaysia meneroka pasaran baharu,” katanya.
Sementara itu, Fadillah yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, 2025 bakal menjadi tahun yang bermakna dan menarik bagi Malaysia.
Beliau berkata, ia bukan saja membabitkan potensi perdagangan melalui Ekspo Dunia 2025, tetapi juga atas peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Katanya, percaya mesej negara untuk perpaduan dan kemakmuran yang lebih besar sebagai sebuah keluarga ASEAN juga boleh dipertingkatkan melalui penyertaan Malaysia di Ekspo Dunia 2025.
“Memang terdapat persamaan teras antara kedua platform itu kerana kedua-duanya memerlukan kerjasama, inovasi dan visi bersama untuk masa depan yang lebih baik.
“Ia menekankan kuasa perpaduan, menyerlahkan bahawa perspektif yang pelbagai dan kekuatan unik kita bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi pemangkin untuk belajar, berkembang dan mencipta sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Ekspo Dunia diadakan setiap lima tahun sekali dan Ekspo Dunia Osaka yang akan datang dijangka membabitkan pempamer daripada lebih 160 negara.
Sepanjang tempoh itu, lebih 28 juta pengunjung dijangka akan melawat Ekspo Dunia Osaka yang bertempat di Pulau Yumeshima bertemakan ‘Designing Future Society for Our Lives’.
Disokong oleh tiga subtema iaitu ‘Saving Lives’, ‘Empowering Lives’ dan ‘Connecting Lives’, Malaysia akan mempamerkan kaitan antara elemen-elemen itu dalam mencapai masa depan yang lebih lestari.
Melengkapi konsep dan tema keseluruhan Ekspo Dunia dengan sentuhan unik Malaysia, tema nasional ‘Weaving a Future in Harmony’ akan membawa pengunjung untuk merasai kepelbagaian budaya, ekonomi dan alam sekitar.-BH Online