Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 74 jemaah haji Malaysia yang sedang dirawat di Pusat Rawatan Tabung Haji dan hospital di sini, dibawa melakukan ibadah wukuf di Padang Arafah menerusi program Safari Wukuf, semalam. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata mereka dibawa dengan bas khas diubah suai tempat duduknya menjadi seperti katil untuk membawa pesakit kritikal ke Padang Arafah bagi menunaikan rukun haji kedua itu.

“Alhamdulilah, program safari wukuf berjaya dilaksanakan. Mereka dibawa sebentar untuk wukuf (selepas waktu Zuhur), tiba (di Padang Arafah) untuk jangka masa pendek. Semua jemaah ini kemudian segera dibawa kembali untuk rawatan,” katanya. null

Sebelum itu, Mohd Na’im yang diiringi Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashdi Hussain; Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Syed Hamadah Syed Othman turut menyantuni pesakit-pesakit yang sedang dirawat di klinik di khemah Padang Arafah.

Turut serta, Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dan pengurusan tertinggi TH. 

Mohd Na’im turut meninjau pelaksanaan Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN) di Arafah, yang melibatkan 50 jemaah haji dalam keadaan uzur kerana umur, kesihatan dan emosi sertaditemani petugas yang terpilih menerusi inisiatif itu. 

“Seramai 50 jemaah haji yang uzur dipilih oleh satu jawatankuasa kaunseling dan setiap daripada mereka mempunyai peneman terdiri petugas TH dengan berkonsepkan ‘one to one’.

“Jemaah haji mengucapkan terima kasih atas inisiatif itu dan merasakan kebajikan, keselamatan serta kesihatan mereka terjaga, membolehkan mereka dapat menumpukan kepada ibadah,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas yang terbabit dalam segala urusan haji bagi musim 1445H/2024M yang telah cuba sehabis baik untuk memastikan semua jemaah haji dapat melaksanakan ibadat wukuf semalam.-BH Online