Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Bangunan Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) pertama di Melaka di Zon Industri Ayer Keroh Baru, di sini bakal memberi penempatan selesa pada 3,264 pekerja asing yang bekerja di sekitar Melaka Tengah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata jika sebelum ini pekerja berkenaan terpaksa tinggal di kawasan penempatan penduduk dengan menyewa rumah di sekitar tempat mereka bekerja, tetapi kini boleh tinggal di kediaman yang jauh lebih selesa dan sempurna.

Katanya, bangunan yang sudah siap sepenuhnya itu dikenali sebagai I-Asrama itu adalah bertaraf bangunan hijau.

“Pembinaan CLQ ini adalah solusi jangka panjang untuk memastikan kawalan dan penginapan yang kondusif di samping mewujudkan persekitaran tempat tinggal yang selamat, bersih dan sistematik. 

“Objektif penyediaan asrama pekerja berpusat ini adalah berfokus untuk menyediakan kemudahan penginapan khususnya kepada pekerja asing di Melaka yang lebih terancang mengikut standard ditetapkan,” katanya selepas merasmikan I-Asrama@ Ayer Keroh Eco Park CLQ, di sini hari ini.

Turut hadir, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem; Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Kerk Chee Yee dan Pengarah PDG Property Group, Datuk Seri Gwee Yew Kiat.

Beliau berkata, bangunan asrama pekerja yang berkonsepkan pangsapuri ini sudah memperoleh kelulusan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) pada 7 Jun lalu dan mampu memuatkan seramai 3,264 pekerja asing khususnya di kawasan Melaka Tengah.

“Justeru saya berharap inisiatif seumpama ini secara tidak langsung menyokong hasrat kerajaan negeri bagi merealisasikan perancangan membina 40 unit kemudahan CLQ untuk menampung kapasiti pekerja di negeri ini tercapai,” katanya.

Ab Rauf berkata, kerajaan negeri akan terus proaktif memberi tumpuan dan sokongan kepada pihak swasta membangunkan sektor perindustrian, khususnya industri berteknologi tinggi bagi menarik lebih banyak kemasukan pelabur, sekali gus meningkatkan permintaan dalam ekosistem pelaburan di negeri ini.

“Suka saya ingatkan kepada syarikat atau pemaju yang masih menggunakan tempat kediaman asrama pekerja misalnya di taman perumahan atau rumah kedai di bawah kelulusan Temporary Labour Quarters (TLQ) bahawa ia hanya sebagai alternatif sementara sebelum dipindahkan ke CLQ,” katanya.-Harian Metro