Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan melaksanakan kajian di seluruh negara dan mengadakan perbincangan kumpulan fokus mengenai keselamatan dalam talian serta menganjurkan Persidangan Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata kerajaan merancang untuk membangunkan hala tuju dasar perundangan yang komprehensif bagi menangani subjek rumit ini dalam masa terdekat.

“Kerajaan di seluruh dunia sedang bergelut dengan cabaran untuk mencapai keseimbangan antara menggalakkan pendigitalan, mengiktiraf kemajuan penting yang dicapai dalam kehidupan seharian kita dan sisi gelapnya – bahaya dalam talian terutama dengan kemunculan dan perkembangan pesat Kecerdasan Buatan (AI). null

“Meskipun kita mengakui kepentingan kemajuan teknologi, Kerajaan MADANI serius dalam komitmen kami bagi memastikan persekitaran ruang digital yang selamat untuk semua rakyat Malaysia,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Menurut Soalan Lazim mengenai Keselamatan Dalam Talian yang disiarkan dalam akaun media sosial menteri berkenaan, beberapa negara sudah melaksanakan tanggungjawab dalam melindungi rakyatnya daripada bahaya dalam talian seperti Australia yang telah menggubal Akta Keselamatan Dalam Talian 2021 dan eSafety Commissioner negara itu menerajui inisiatif Safety by Design.

Ia menyatakan bahawa Singapura telah menggubal Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian 2023, meminda Akta Penyiaran 1994 dan Penguasa Pembangunan Media Infokomunikasinya mengeluarkan Kod Amalan bagi Keselamatan Dalam Talian manakala Parlimen UK meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian pada 2023 dan Pejabat Pesuruhjaya Maklumatnya menerbitkan Kod Amalan bagi Perkhidmatan Dalam Talian Bersesuaian Dengan Umur.

Menurut Soalan Lazim, kajian dan perbincangan kumpulan fokus itu akan dilaksana untuk mendapatkan input daripada organisasi masyarakat sivil, pemain industri dan orang ramai mengenai keselamatan dalam talian.

Persidangan itu akan dianjur bagi menghimpunkan pihak berkepentingan untuk mempromosi pengalaman dalam talian yang lebih selamat kepada semua orang, berkongsi ilmu dan amalan terbaik, memupuk kerjasama serta menyokong dasar dan teknologi lebih baik.

Ia menyatakan bahawa undang-undang baharu yang kukuh diperlukan dalam dunia yang pantas berubah ketika ini bagi menangani bahaya yang dihadapi dalam talian seperti dari segi tingkah laku dan kandungan yang berbahaya demi memastikan semua orang selamat kerana jumlah kandungan yang dihasilkan di platform dalam talian menjadikan kawalan kendiri semakin mencabar.

Menurut Soalan Lazim, kawalan kendiri oleh platform dalam talian meskipun merupakan pendekatan yang berniat baik telah terbukti tidak memadai untuk menangani bahaya dalam talian dengan berkesan.-Bernama