Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keadaan kesihatannya beransur baik selepas menjalani prosedur pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 7 Jun lalu.

Namun, beliau berkata, keadaannya masih lagi dipantau dan memerlukan banyak masa berehat.

“Alhamdulillah, keadaan saya beransur baik dan perlukan masa untuk pulih selepas menjalani pembedahan, baru-baru ini.

“Buat masa kini keadaan saya masih lagi dipantau oleh doktor dan perlu banyak masa untuk berehat. Semoga Allah SWT memberi rahmat dan kesejahteraan kepada kita semua.

“Pada masa sama, saya berterima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (Perdana Menteri) yang sudi meluangkan masa melawat saya di IJN, semalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata keadaan Wan Rosdy semakin baik ketika beliau melawatnya.

“Alhamdulillah keadaan beliau bertambah baik selepas menjalani prosedur pembedahan dan kini dalam pemantauan pakar perubatan di IJN,” kata beliau.

Wan Rosdy selesai menjalani prosedur pembedahan di IJN, 7 Jun lalu.-BH Online