Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan masalah air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan diselesaikan hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata komitmen sewajarnya sudah diberikan kementerian bagi menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin termasuk pembinaan telaga tiub bagi mengambil sumber air bawah tanah.
Katanya, beliau juga meninjau isu berkenaan di UMS baru-baru ini, selain bertemu Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan penyelesaian masalah berkenaan.
Beliau berkata, Ketua Menteri Sabah juga memberi jaminan kerajaan negeri akan membantu dari segi meningkatkan saluran paip dan bekalan air.
“Masalah bekalan air di dalam kampus UMS, KPT sudah beri komitmen dan sudah dilaksanakan. Masalah air di Sabah sebagaimana kita sedia maklum, ia juga berkait dengan saluran paip, pembekalan air dan sebagainya.
“Saya telah berjumpa dengan Ketua Menteri Sabah, bagi membincangkan isu ini dan beliau juga menunjukkan komitmen dan ada beberapa perancangan yang dibuat bagi mengukuhkan pembekalan air dari paip dan takungan. Pelbagai perkara sedang di susun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Konvensyen Barisan Nasional (BN) Johor, di sini hari ini.
Januari lalu, masalah bekalan air yang membelenggu warga UMS dan sekitarnya dilaporkan dijangka selesai selepas kerja paip utama bagi menyalurkan air tambahan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran, siap.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, dilaporkan berkata kontraktor sudah diarah untuk menyiapkan segera kerja berkenaan sebelum akhir Januari lalu.
Namun masalah ketiadaan air di universiti terbabit dilaporkan didakwa masih belum selesai sehingga mengganggu rutin harian kehidupan di kampus.
Dalam pada itu, Zambry yang juga Setiausaha Agung BN, berkata isu ketiadaan air yang dihadapi mahasiswa UMS sentiasa diikuti, malah sudah dua kali turun padang ke universiti terbabit.
“Saya sentiasa mengikut rapat permasalahan dihadapi mahasiswa UMS ini. Sudah dua kali saya ke UMS untuk melihat penyelesaian yang boleh diambil.
“Kita jangkakan masalah tersebut dapat diselesaikan hujung tahun ini ataupun awal tahun depan. Dalam konteks ini kita telah bina telaga tiub untuk bekalan air dari sumber bawah tanah diambil,” katanya.-BH Online