Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang meneliti untuk mewajibkan operator taska menjalani ujian psikometrik secara tahunan seperti yang dilaksanakan di Eropah.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia antara langkah untuk membendung penderaan atau pengabaian kanak-kanak yang diasuh di taska.

Menurutnya, ujian itu memang antara terma dan syarat yang ditetapkan untuk dilalui setiap operator sebagai saringan awal ketika menjalani latihan bagi melayakkan mereka mengendalikan taska.

Bagaimanapun katanya, difahamkan ujian bagi menilai tahap kesihatan mental termasuk mengukur kejujuran, nilai etika dan perwatakan keseluruhan seseorang operator taska itu hanya dijalankan sekali sahaja.

“Kita akan meneliti (untuk mewajibkan ujian psikometrik secara tahunan) kepada operator taska. 

“Perkara itu sudah ada di dalam terma dan syarat ketika mereka menjalani latihan peringkat diploma bagi melayakkan diri sebagai pengendali taska,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Siri 1 (Daerah Lundu) dan Sambutan Hari Denggi ASEAN 2024 Peringkat Bahagian Kuching di Rumah Panjang Kampung Pueh, Sematan, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang dan ADUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan.

Selain itu, Nancy berkata, bagi memastikan keselamatan anak-anak terjamin, ibu bapa harus menghantar anak mereka ke taska berdaftar.

“Sekarang masih banyak taska yang beroperasi tidak berdaftar sebab itu kita menyeru kepada mereka yang hendak menghantar anak, periksa dulu.

“Rujuk dengan kementerian kami pun boleh untuk mengetahui status sesebuah taska,” katanya.-BH Online