Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tidak timbul sebarang pertikaian mengenai pemilihan calon kerajaan MADANI pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir,

Beliau berkata, BN akan memberi sokongan penuh penuh kepada calon bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan MADANI.

Beliau berkata, BN menghormati keputusan dibuat pucuk pimpinan, justeru soal pemilihan calon dan daripada parti mana adalah tidak berbangkit.

“Soal siapa yang jadi calon tak timbul lagi. Ia sudah dipersetujui dan akan diumumkan nanti. Kita faham kawasan itu ditetapkan untuk seorang daripada calon kerajaan MADANI dan sebagaimana diketahui, ia adalah kawasan Pakatan Harapan (PH). 

“Jadi kita menghormati tradisi ini. Apa yang paling mustahak adalah semangat kebersamaan yang kita bincang bersama-sama dan sudah dipersetujui calon yang akan diumumkan secara rasmi oleh pihak pimpinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran ‘Blueprint’ Keterjaminan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) di Dewan Besar, Pusat Kebudayaaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, di sini, hari ini. 

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Badrul Hisham Mohd, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Datuk Dr Ibrahim Komoo dan Naib Canselor UPM, Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah. 

Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, berkata dalam konteks strategi bagi PRK DUN Sungai Bakap, katanya, semua parti komponen dalam Kerajaan MADANI akan bekerjasama bagi memastikan kejayaan calonnya.

“BN akan beri sokongan yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan calon Kerajaan MADANI akan menang dalam PRK ini, maka semua pihak dalam konteks akan beri kerjasama yang mantap dalam memastikan kemenangan calon kita,” katanya. 

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Isnin lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeo mengumumkan calon dari PKR akan mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap. 

Katanya, tiada parti lain dalam komponen Kerajaan Perpaduan menuntut bertanding di kerusi DUN itu yang secara tradisi ditandingi PKR pada pilihan raya sebelum ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai ini.-BH Online