Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Persekutuan sudah meluluskan peruntukan RM2.7 juta bagi pelaksanaan 60 projek atau program untuk kawasan Parlimen Muar antara Januari hingga semalam, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Justeru, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, menegaskan tidak timbul isu Parlimen Muar tidak mendapat sebarang peruntukan atau isu ‘politik balas dendam untuk menekan pengundi’ seperti didakwa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

“Peruntukan sebanyak RM2.7 juta bagi pelaksanaan meliputi 60 projek atau program itu termasuk sembilan projek naik taraf dan baik pulih masjid dengan kos RM741,000 serta 18 Projek Mesra Rakyat dengan kos RM800,000.

“Justeru, dengan dana sebanyak itu ia cukup membuktikan Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan penduduk di mana-mana kawasan Parlimen, termasuk Parlimen Muar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah berkata demikian sebagai mengulas laporan BH semalam yang melaporkan Syed Saddiq mendakwa, kawasannya masih belum menerima sebarang peruntukan walaupun sudah lapan bulan perkara itu dibincangkan.

Beliau didakwa berkata, semua prasyarat ditetapkan oleh kerajaan sudah dipatuhi tanpa membuang masa kerana memikirkan kepentingan rakyat di kawasannya.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mendakwa, beliau memaklumkan sudah dua kali berjumpa dengan Fadillah, selain turut menghantar tiga surat dan di luar kerangka rasmi rundingan menyatakan sudah berjumpa dengan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan.

Di samping itu, Fadillah turut memaklumkan, sebanyak RM30.39 juta peruntukan sudah diluluskan di bawah Projek Pembangunan Kerajaan Persekutuan Rolling Plan (RP4) Tahun 2024 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kawasan Parlimen Muar.

“Ia membabitkan keseluruhan sembilan projek dengan lima daripadanya dalam peringkat pembinaan, satu projek pra-pelaksanaan, dua pasca pembinaan dan satu projek Penggantian Mesin Magnetic Resonance Imaging (MRI) di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di bawah peruntukan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Lima projek dalam pelaksana ialah pembinaan Youth Hub Muar di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS); Projek Meroboh dan Membina Semula Jeti Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Marin Johor ( peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Penggantian Mesin Computed Tomography (CT Scan) Di Hospital Sultanah Fatimah (KKM). 

“Dua lagi dalam perlaksanaan ialah di bawah Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Medan Selera Jeti Pekan Panchor, Muar dan Medan Selera Asam Pedas Parit Jawa, Muar,” katanya. 

Selain itu, dua projek pasca pelaksanaan ialah Pembinaan Tabika Orang Asli Kampung Orang Asli Bukit Panjang, Muar di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Penambakan Pemecah Ombak di Pengkalan Seri Menanti Laut, Muar di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA). 

Sementara satu, lagi projek peringkat pra-pelaksanaan ialah Pembinaan Baraj Sungai Muar – Fasa 1 Perkhidmatan Perunding di bawah peruntukan PETRA.

Untuk rekod seperti dilaporkan BH pada 17 Mac lalu, Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan sememangnya menyalurkan peruntukan untuk kawasan Parlimen Muar tetapi bukan peruntukan kepada Ahli Parlimen Muar.

Katanya, pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen belum dapat diputuskan kerana ketua pembangkang belum berjumpanya untuk mengadakan perbincangan lanjut.-BH Online