Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri meminta lebih banyak pihak swasta terbabit dalam pembangunan produk dan penyelesaian warga emas dan ‘silver economy’. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perkara itu kerana persediaan untuk negara yang semakin tua memerlukan pendekatan seluruh negara.

Beliau berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) telah menerajui pelaburan dalam usaha niaga yang disasarkan membangunkan ‘silver economy’ di Malaysia.

Justeru itu katanya, kerajaan menunggu lebih banyak pembabitan sektor swasta lain dan perlu mengutamakan pelaburan dalam sektor kritikal seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang kondusif kepada penuaan aktif.

Katanya, dengan memperuntukkan sumber ke arah perkara itu, Malaysia boleh meletakkan dirinya untuk memanfaatkan potensi pasaran yang berkembang pesat, dianggarkan bernilai AS$15 trilion. 

“Perkara ini didorong oleh keperluan dan keutamaan asas pengguna yang semakin tua. Pelaburan sedemikian bukan saja menjanjikan pulangan yang besar tetapi juga menggariskan komitmen Malaysia untuk memastikan kesejahteraan dan kualiti kehidupan penduduk yang semakin tua sambil memupuk pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negara,” katanya selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2024 anjuran KWSP hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam menghadapi penduduk lanjut usia yang semakin meningkat jumlahnya, negara perlu memberi keutamaan pelaburan dalam ‘silver economy’ untuk membina infrastruktur dan mencetuskan inovasi dalam bidang seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik yang boleh membolehkan penuaan aktif dan sihat.

Beliau berkata, ketersediaan dan kemampuan untuk peranti teknologi juga perlu dipertingkatkan daripada teknologi rumah pintar kepada peranti boleh pakai yang boleh membantu mengesan penanda kesihatan yang dapat membantu warga emas menjalani persaraan yang lebih sihat.

Penambahbaikan dalam kebolehcapaian teknologi katanya boleh mengatasi kemerosotan dalam mobiliti, pendengaran atau penglihatan malah boleh meningkatkan produktiviti warga emas di tempat kerja sekali gus membenarkan mereka menyumbang kepada tenaga kerja untuk tempoh yang lebih lama.

Kerajaan Perpaduan katanya komited untuk memperbaiki kehidupan rakyat Malaysia yang lebih tua dengan lebih inklusif dan adil untuk semua rakyat selaras dengan konsep Malaysia MADANI.

Bank Dunia juga katanya telah mengunjurkan bahawa perubahan demografi dijangka menyumbang kira-kira satu pertiga daripada penurunan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 2020 dan 2050.

Tambahan pula katanya, jangkaan peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan untuk penjagaan kesihatan dan bantuan sosial akan bertepatan dengan penurunan asas cukai yang berpunca daripada tenaga buruh yang semakin berkurangan sebagai peratusan penduduk.

“Nisbah kebergantungan warga emas di Malaysia diunjurkan akan berkurangan ketara daripada 10 orang dewasa bagi setiap warga emas pada 2020 kepada tiga orang dewasa untuk setiap warga emas pada 2060.

“Ini menandakan bahawa warga emas sudah tidak boleh bergantung kepada struktur keluarga untuk bantuan,” katanya.-BH Online